Bukan sekali dua berlaku kes kematian akibat dilanggar pemandu mabuk tapi kali ini ramai netizen naik angin kerana hanya dalam tempoh 72 jam 3 kes kematian dilaporkan selepas dilanggar pemandu mabuk.
Kes Pertama – 9 Februari
Pada 9 Februari, pasangan suami isteri sedang dalam perjalanan pulang sebelum motor mereka dilanggar sebuah Perodua Alza di Kilometer 140.2 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke utara berhampiran susur Perai.
Menurut NST, ketika kejadian jam 5.05 pagi itu, penunggang motor tersebut dikenali sebagai Khairizul Mohamad Noor, 38, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Manakala isterinya, Zuriana Hasan, 35, kini berada dalam kritikal dan sedang dirawat di ICU, Hospital Seberang Jaya. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal di lorong kiri sebelum kereta yang dipandu lelaki berusia 33 tahun merempuh mereka dari belakang.
Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan raya, manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemandu kereta berkenaan telah ditahan untuk siasatan dan ujian pernafasan menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) mendapati lelaki tersebut memandu di bawah pengaruh alkohol.”
Pasangan itu memiliki 5 orang anak yang masih kecil dan lebih memilukan, Zuriana kini masih belum sedarkan diri dan tidak tahu suaminya telah meninggal dunia. Nik Ros Azhan juga berkata, pemandu berusia 34 tahun itu mempunyai 3 saman perangkap had laju yang dikeluarkan terhadapnya sebelum ini.
Tiga saman itu dikenakan di Butterworth, Bukit Mertajam dan Slim River. Dia kini disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian.
Kes Kedua – 11 Februari
Ketika kejadian jam 2.30 pagi hari ini (11 Februari), dua sahabat dilaporkan maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh pemandu mabuk dekat Kilometer 13 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) arah Sungai Dua.
Menurut Berita Harian, Muhamad Syaiful Hilmi Rosidi,21, yang bekerja sebagai juru elektrik dan pembonceng, Muhammad Amin Najmi Azaman,19, disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada sebuah Toyota Vios yang dipandu pemandu seorang wanita melanggar belakang motosikal jenis YAMAHA 125ZR.
Apabila sampai di KM13 BORR arah Sg Dua, wanita itu melanggar bahagian motosikal menyebabkan pembonceng dan penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan manakala, motosikal mereka terbakar.”
Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk dibedah siasat. Manakala wanita itu pula sudah direman pagi tadi untuk siasatan lanjut.
Hasil ujian alkohol yang dijalankan mengesahkan wanita berusia 47 tahun itu memandu di bawah pengaruh alkohol. Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan (APJ) 1987.