Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan pembangkang yang terus tidak berpuas hati terhadap proses siasatan melibatkan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, sedangkan bekas Setiausaha Politik Kanannya itu tidak menerima sebarang ‘layanan istimewa’ daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perdana Menteri menjelaskan bahawa beliau tidak mempertahankan Shamsul Iskandar, malah bekas pegawainya itu turut menjalani prosedur biasa, termasuk digari ketika ditahan.
Artikel berkaitan: Ringgit Mengukuh Ke RM4.16 Berbanding USD, Terbaik di Asia – PMX
Artikel berkaitan: SPRM Siasat Pasangan Pegawai Imigresen Beli Kereta Mewah, Buka Kedai Emas Guna Duit Rasuah
Beliau turut menegaskan bahawa tiada campur tangan atau sebarang ‘teguran’ diberikan kepada SPRM, yang menurutnya bebas melaksanakan siasatan.
“Dalam kes yang sekarang disiasat SPRM. Cuba lihat, hendak suruh buat apa lagi? Orang itu digari dengan baju oren. Saya rasa banyak kes berat yang lain tidak digaripun.
Tidak puas hati lagi ke? Jadi saya (rasa) setakat itu dan saya tidak tegur sepatahpun kepada SPRM. Saya sudah bagitahu, dia bebas untuk siasat, dia siasatlah. Dia nak suruh apa lagi?
Saya tidak pertahankan staf (kakitangan) saya. Saya hendak tanya mengapa hendak pertahankan orang lain?” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebagai info, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung satu kes rasuah.
Sumber: Berita Harian
