Masih ada individu ‘gelang pink’ diarahkan untuk kuarantin di rumah yang degil dan pentingkan diri. Kali ini, seorang wanita di Melaka dilaporkan ditangkap di sebuah pasar raya di bandar itu.
Menurut Harian Metro, wanita berusia 33 tahun itu yang keluar bersama saudara lelakinya bertindak menyorokkan gelang merah jambu dipakai di tangan kanannya daripada diketahui orang ramai.
Namun, gerak gerinya disedari beberapa orang awam di pasar raya tersebut sebelum mereka melaporkan kepada pengawal keselamatan di situ.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata wanita itu sepatutnya menjalani kuarantin di rumah sehingga Khamis ini namun melanggar arahan KKM kerana mahu membeli barangan keperluan sambutan Deepavali.
“Pengawal keselamatan itu mengarahkan wanita terbabit keluar dari premis dan memintanya menunggu di hadapan pejabat pegawal keselamatan sebelum menghubungi Balai Polis Batu Berendam.”
“Sementara menunggu ketibaan polis, pengawal keselamatan itu menyoal siasat wanita terbabit dan mendapati dia datang ke pasar raya berkenaan bersama seorang saudara lelakinya sebelum dia diarah memanggil saudaranya itu.”
Kedua-dua wanita itu dan saudaranya kemudian diarah untuk pulang menyambung kuarantin sambil diiringi kereta peronda polis bagi memastikan mereka sampai ke rumah.
“Tiada tangkapan dibuat, bagaimanapun wanita itu sudah dimaklumkan untuk menyerah diri ke balai polis selepas tamat tempoh kuarantin serta menunjukkan keputusan ujian Covid-19 ke atasnya negatif.”
Siasatan ke atas wanita itu dilakukan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988