Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini menolak permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara 6 tahun di rumah bagi kes SRC International.
Peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee telah mengesahkan notis rayuan tersebut dan ia sudah pun difailkan pada Rabu lalu.
Artikel berkaitan : Kes 1MDB : Najib Bersalah Atas 4 Kes Rasuah Dana
Artikel berkaitan : Mahkamah Tinggi Putuskan 4’Surat Derma Arab’ Kes 1MDB Najib Razak Sebenarnya Palsu
“Notis rayuan berkaitan (keputusan Titah) Adendum itu sudah difailkan pada 24 Disember lalu.”
Pada minggu lepas, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Najib Razak untuk melaksanakan Titah Adendum agar beliau dapat menjalani bagi hukuman penjara melalui tahanan di rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching telah membuat keputusan berkenaan selepas pihaknya berpuas hati bahawa isu tahanan rumah tidak pernah disebut, dibincang mahupun diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Malah, hakim juga memutuskan bahawa Titah Adendum berkenaan tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.

Sementara ityu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan turut menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu tidak mengurangkan kuasa Agong, Raja-Raja Melayu atau Yang di-Pertua Negeri dalam memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah.
Menurut AGC, hakim dalam penghakiman lisannya turut mengiktiraf kuasa prerogatif Agong, Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri berkenaan pengampunan.
Sumber : Buletin TV3
