Nampaknya kemelut kilang sarung tangan Top Glove masih menjadi isu di luar negara apabila sebuah stesen televisyen dari Kanada, Canadian Broadcasting Corporation (CBC) telah menunjukan satu rakaman tersembunyi, dikatakan tunjuk situasi sebenar dalam kilang tersebut.
Tempat sesak, tak patuh penjarakan sosial
Menurut FMT, program yang dinamakan Marketplace itu menyeludup sebuah kamera ke kilang itu dengan bantuan pekerja Top Glove.
Dalam video berdurasi 22 minit itu, kelihatan keadaan kerja tidak selamat serta tempat tinggal yang sesak dan panas. Malah ada juga paparan yang menunjukkan bahawa tiada pematuhan arahan untuk pencegahan Covid-19.
Selain itu, terdapat juga rakaman pekerja sedang melakukan kerja pembaikan elektrik atau mengendalikan bahan kimia tanpa sebarang peralatan keselamatan. Bahkan, ada pekerja yang bersesak ketika ingin membuat ujian saringan dengan penjarakan fizikal yang minima.
Malah, ada pekerja di asrama dikatakan mandi bersebelahan timbunan sampah. Dalam temubual CBC bersama 23 pekerja dan bekas pekerja asing, mereka menceritakan bahawa pelbagai dakwaan eksploitasi seperti bebanan hutang, cara rekruit, penahanan pasport, kerja terlampau lebih masa, menindas dan keadaan tempat tinggal yang menyedihkan.
“Syarikat tidak peduli (mengenai pekerjanya). Jika kami mengadu kepada pihak berkuasa lebih tinggi, syarikat akan dipaksa menjaga kami,” kata seorang pekerja.
“Saya tiada pilihan, saya perlu kerja (untuk melangsaikan hutang saya),” seorang pekerja Bangladesh memberitahu program Marketplace yang menjelaskan bahawa dirinya mempunyai banyak hutang kerana sering pinjam dengan peminjam tidak bertanggungjawab dan perlu membayar sejumlah besar yuran kepada agensi pekerjaan untuk mendapatkan kerja.
Tonton video dibawah ini.
Menurut CBC lagi, sejurus sahaja video itu disiarkan, kilang itu terpaksa menghentikan pengeluarannya susulan penularan Covid-19 yang mencatatkan lebih 6,000 kes.
Misleading, tak siarkan langkah pemulihan – Top Glove
Terpanggil dengan laporan yang dikeluarkan pada Jumaat lepas itu, syarikat Top Glove Corporation baru-baru ini ada ‘buka mulut’ untuk menafikan dakwaan CBC yang dianggap sengaja mengelirukan dan telah merosakkan reputasi baik syarikat itu.
Kata syarikat yang menghasilkan sarung tangan getah itu, laporan tersebut dengan sengaja memandang ringan atau tidak memasukkan langkah-langkah pemulihan terkini yang telah diambil oleh mereka.
“Kami amat kecewa apabila langkah-langkah pemulihan kami tidak disiarkan secara menyeluruh dan dinyatakan secara adil dalam video laporan utama mereka.”
Top Glove juga memperjelaskan laporan CBC yang kononnya mendedahkan persekitaran yang ‘mengerikan’ itu serta isu tempat tinggal pekerjanya dan persekitaran kerja yang tak selamat itu.
Menurutnya, cara ia digambarkan, mencadangkan ada percanggahan dalam dasar sedia ada dan itu termasuk komitmen Top Glove untuk memerangi guna ‘buruh paksa’ untuk melindungi hak pekerjanya, lapor Sinar Harian.
“Top Glove komited untuk memastikan perhambaan hutang dan isu lain yang berkaitan yang telah disalah lapor oleh CBC tidak mempunyai tempat dalam operasi perniagaan kami. Kami mengatasi perkara ini dengan memastikan membuat keputusan yang tepat di semua peringkat operasi kami yang dinilai oleh pengurusan dan pengarah kami.”
Kata Top Glove menerusi satu kenyataan lagi, sebagai langkah wajib tambahan, mereka ada melakukan penilaian untuk mengenal pasti jurang dan potensi risiko dalam operasi dan rantaian bekalannya.
“Membangunkan pelan mitigasi dan menyediakan langkah pemulihan dalam bidang yang perniagaan dan operasi kami tidak memenuhi aspirasi kami mengenai hak pekerja kami,” katanya.
Mereka turut menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan pekerjanya menjadi keutamaan syarikat.
Dalam menghasilkan sarung tangan perubatan berkualiti tinggi untuk melindungi pengamal perubatan dan frontliner di seluruh dunia, syarikat itu komited untuk mematuhi langkah-langkah ketat bagi melindungi semua pekerja dan masyarakat.