Kelahiran cahaya mata adalah saat terindah dalam kehidupan berkeluarga. Tetapi disebabkan kesempitan hidup, anak yang dilahirkan terpaksa dilepaskan dengan harapan agar ada insan yang dapat menjaganya dengan lebih baik.
Itulah kejadian yang berlaku di Tanjong Karang, Selangor apabila seorang bayi lelaki ditemui di hadapan pintu pagar utama Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru semalam dalam keadaan sempurna beserta sekeping nota.
Apa yang menyedihkan, dalam nota tersebut tertulis bahawa keluarganya tidak mampu untuk menjaga bayi lelaki itu kerana berdepan dengan masalah ekonomi. Allahu sedihnya!
“Kami mohon maaf kerana tak dapat membesarkan Muhammad Arif atas sebab ekonomi,”
“Kami mohon siapa yang dapat dan sanggup membesarkan dia. Kami sangat berterima kasih.”
Ingatkan anak kucing
Kejadian ini disedari oleh Ketua guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kafa Integrasi Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru, Mohd Maidin Abdul Rahim yang menemui bayi itu sekitar jam 7.15 pagi ketika dalam perjalanan menuju ke sekolah.
“Saya dalam perjalanan ke sekolah untuk meninjau kerja pembersihan. Tiba di lokasi, saya perasan ada kotak di pintu pagar utama surau dan menyangka ada orang buang anak kucing.
“Kebetulan, kotak itu ditutup dengan kain berwarna biru. Saya ambil keputusan untuk menyelak kain dan terkejut melihat bayi di dalamnya,”
Tinggalkan bayi selepas solat subuh
Beliau berkata, sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hanya sebilangan jemaah sahaja yang dibenarkan untuk ke surau bagi menunaikan solat Subuh.
Namun, jemaah yang hadir mengatakan mereka tidak menemui kotak tersebut diletakkan di depan surau dan Maidin beranggapan bahawa kotak itu diletakkan selepas jemaah pulang.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan bayi itu dan akan menyiasat lanjut berkaitannya, lapor Berita Harian.
Sedihnya tengok baby ni kena tinggal depan surau. Tapi family dia nampak masih sayangkan dia sebab tinggalkan dalam keadaan yang baik. Semoga ibu bapa baby ni sentiasa dimurahkan rezeki.