in

Menteri Indonesia Dakwa Negaranya Lebih Layak ‘Claim’ Durian Buah Kebangsaan Mereka

durian buah kebangsaan

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Menteri Penyelaras Urusan Pangan Indonesia, Zulkifli Hasan mendakwa bahawa negara mereka lebih layak dan mempunyai asas lebih kukuh untuk mengiktirafkan durian sebagai buah kebangsaan berbanding Malaysia.

Menurut menteri terbabit, ini disebabkan pengeluaran durian di negara itu dan kepelbagaian spesies yang dimiliki jauh lebih besar mengatasi Malaysia, berdasarkan data Badan Pusat Statistik (BPS) 2024.


“Indonesia menghasilkan hampir dua juta tan durian pada 2024. Angka ini jauh lebih tinggi berbanding Malaysia. Dengan fakta ini, saya percaya durian ialah Buah Kebangsaan Indonesia.

“Jika kita bercakap tentang simbol kebangsaan, ia mesti berasaskan data dan realiti. Durian Nusantara ialah kekuatan kita di Asia. Mengikut data penyelidikan, Indonesia memiliki 21 daripada 27 spesies durian yang dikenal pasti di dunia, dan sehingga 2024, sebanyak 114 varieti unggul telah didaftarkan,” katanya.

Kenyataan tersebut dipercayai respon kepada Persatuan Pengusaha Durian (DMA) Malaysia yang mencadangkan untuk menjadikan durian sebagai buah kebangsaan.

Persatuan itu mengemukakan cadangan berkenaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Presidennya, Eric Chan berkata, raja buah itu mempunyai nilai simbolik yang mendalam buat rakyat Malaysia.

1728908972 5000x3327 1

Artikel berkaitan: “Satu bangunan kecoh!” – Tengah Nikmat Makan Pulut Durian, Rakyat Malaysia Menetap Di Paris Terkejut Bomba Serbu Rumah

Artikel berkaitan: Kumpul Duit RM15 Untuk Beli Durian, Peniaga Dipuji Belanja 3 Kanak-kanak Makan Musang King

“Asia Tenggara tanah asal durian”

Melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri Indonesia terbabit, Chan berkata Malaysia menghormati pendirian negara itu.

Katanya, kedua-dua negara berkongsi hubungan budaya serta sejarah yang mendalam dengan buah tersebut yang tumbuh subur di seluruh rantau.

“Cadangan kami meraikan buah yang telah membentuk komuniti kita, menyokong pekebun dan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi agro-eksport negara.

“Menjadikannya buah kebangsaan Malaysia tidak menjejaskan hak Indonesia untuk melakukan perkara yang sama.

“Kami mahu menonjolkan kekuatan Malaysia dan menggalakkan kerjasama serantau, terutamanya kerana Asia Tenggara ialah tanah asal durian,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi, mengesahkan bahawa jabatan itu telah menerima permohonan DMA pada 8 September 2025.

Namun, setakat ini belum ada pengisytiharan rasmi dibuat sama ada berkaitan penamaan durian sebagai buah kebangsaan atau penetapan Hari Durian Kebangsaan.

Sumber: Sinar Harian, Majoriti

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.