Penduduk di Jombang, Jawa Timur digemparkan dengan penemuan sebuah kubur ‘terbuka’ dipercayai akibat digali pada Ahad lepas. Menurut laporan, jenazah Anis Purwaningsih yang meninggal dunia selepas melahirkan anak baru saja dikebumikan sehari sebelum itu.
Arwah telah dikebumikan pada 19 September bersebelahan dengan kubur bayinya yang turut meninggal dunia sehari sebelum dia menghembuskan nafas terakhir iaitu pada Jumaat, 18 September lepas.
Ketika kejadian pada jam 4 petang itu, ada penduduk kampung yang ternampak keadaan kubur wanita berusia 26 tahun berkenaan seperti telah dikorek semula dan dalam keadaan berselerak. Bimbang jenazah dilarikan, penduduk kampung dibantu oleh pihak berkuasa beramai-ramai memeriksa kubur dan berasa pelik apabila mendapati jenazah Anis masih ada di dalam liang lahad.
Bagaimanapun, satu daripada tiga lembar kain kafan yang membaluti jasad Anis dilaporkan hilang membuatkan seluruh ahli keluarga arwah serta seluruh penduduk khuatir dan tertanya-tanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Ngoro, Yanuar, pihaknya turut menemui pinggan yang diperbuat daripada zink, dipercayai digunakan untuk menggali kubur berkenaan.
Difahamkan, kubur Anis telah ditimbus semula oleh ahli keluarga dengan bantuan penduduk dan polis kini sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti suspek serta motif kejadian.