Dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan khabar duka mengenai pelakon dan pelawak veteran, Sathiya, 62, yang dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di Hospital Ampang sejak pagi semalam.
Menurut anaknya, Amani, 37, bapanya dikejarkan ke zon kuning sekitar jam 1.30 pagi selepas menunjukkan simptom yang sangat membimbangkan termasuklah tidak mampu berkomunikasi dengan jelas.
Artikel berkaitan: Ada Darah Beku Dalam Otak, Shamsul Ghau Ghau Telah Selamat Jalani Pembedahan
Artikel berkaitan: Zamani Slam Nafi Kesihatan Semakin Merosot, Masih Mampu Berdiri Dan Menyanyi 2 Jam Tanpa Henti
Amani menceritakan bahawa kesihatan bapanya mula merosot secara drastik selepas mengadu pening kepala, muntah-muntah, dan perubahan warna pada bahagian mata.
“Kesihatan ayah merosot selepas dia mengadu pening, muntah, dan mata menjadi kuning sejak petang Ahad. Dia juga hampir tidak memberikan sebarang respons terhadap apa yang kami katakan,” katanya.
Hasil pemeriksaan perubatan, termasuk ujian X-ray dan ujian darah, doktor mengesahkan bahawa Sathiya perlu menjalani pembedahan segera pada bahagian kaki kirinya.
Lebih menyedihkan, kaki tersebut yang sebelum ini pernah menjalani pembedahan, kini perlu dipotong semula pada paras yang lebih tinggi iaitu di atas lutut. Langkah drastik ini terpaksa diambil bagi mengelakkan jangkitan kuman yang sudah mula bernanah daripada merebak ke seluruh anggota badan yang lain.
“Doktor kata mereka terpaksa potong kaki yang pernah dibedah sebelum ini. Kali ini, ia akan dipotong atas paras lutut kerana mereka bimbang jangkitan akan merebak dengan cepat melalui badannya,” tambah Amani lagi.
Selain komplikasi pada kaki kiri, kaki kanan Sathiya juga dilaporkan mengalami bengkak yang teruk. Walaupun pelawak itu dikatakan sangat disiplin dalam menghadiri janji temu susulan dan mengambil ubat-ubatan, namun keadaannya kini tetap mengundang kerisauan besar kerana masih belum sedarkan diri.
Setakat ini, Sathiya sedang dipantau rapi di zon kuning sementara menunggu penempatan wad dan penilaian lanjut daripada pakar ortopedik.
Sumber: NST
