Meskipun dimaklumkan hari ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menyampaikan satu pengumuman khas berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID 19, sehingga setakat ini masih belum ada tanda-tanda ia akan berlaku.
Pun begitu, menurut sumber akhbar The Star, daripada pelbagai sumber yang dipercayai di Putrajaya, kerajaan ada kemungkinan bakal mengisytiharkan darurat untuk membendung pandemik COVID 19 yang kini meningkat secara mendadak.
Pengisytiharan ini katanya berikutan satu mesyuarat khas kabinet yang diadakan pada 11 pagi tadi.
Meskipun tiada informasi lanjut daripada Kabinet mengenai apa yang diputuskan mesyuarat tersebut, namun Perdana Menteri katanya telah dijadualkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada petang ini.
Dalam pada itu, satu mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga akan diadakan petang ini untuk membincangkan langkah-langkah drastik berkenaan pandemik tersebut.
Dengan ini, boleh dikatakan ia merupakan percubaan kedua kerajaan dalam mengisytiharkan darurat yang mana sebelum ini cadangan tersebut telah ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong.
Apa-apapun ini sekadar spekulasi dan diharapkan rakyat Malaysia tidak panik dan sentiasa sabar dengan dugaan yang bakal mendatang.
Baca: Mungkin Kerajaan Dibawah Naungan Agong Jika Darurat Politik Dilaksana