in

“Malu nak lari depan orang” – Kisah Anak OKU Semangat Habiskan Larian Bikin Sebak

Ft Olahraga Oku

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Biarpun dilahirkan tidak sempurna tubuh badan seperti anak-anak lain, anak OKU kelahiran Jerantut, Pahang, Muhammad Aqil Naufal Zahiran mendapat perhatian di laman sosial kerana semangatnya.

Aqil yang baru berumur 11 tahun ini membuktikan keupayaannya berlari sehingga ke garisan penamat dalam satu kejohanan olahraga walaupun dirinya dalam keadaan tidak mempunyai satu kaki dan memakai tongkat.


Muhammad Aqil kudung kaki sejak 2015 kerana dipotong akibat jangkitan kuman dan bergelar anak yatim selepas kematian bapanya pada 2 tahun lalu.

Biarpun dia merupakan peserta terakhir ke garisan penamat, semangatnya untuk menghabiskan larian itu dipuji ramai.

“Malu sebenarnya nak lari depan ramai orang tapi saya teruskan juga larian kerana nak sampai ke garisan penamat macam rakan yang lain.”

Ketika ditemubual oleh Harian Metro, Muhammad Aqil yang juga murid Program Pendidikan Inklusif Penuh (PPI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Lepar Utara 1 ini memang aktif dalam sukan tetapi dalam sukan bola sepak.

Jelas anak sulung daripada dua orang adik beradik ini lagi, penyertaan dalam Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut 2023 adalah yang pertama dan dia mengambil bahagian ini hasil dorongan daripada gurunya.

Screenshot 2023 08 29 175944

“Cikgu minta saya ambil bahagian jadi saya pun cuba dan sempat ikuti latihan selama empat hari sebelum hari kejohanan. Nak kata gementar sangat tidak tetapi kaki terketar-ketar juga kerana fikirkan ramai orang tengok saya waktu itu.”

“Saya pula kali pertama ambil bahagian jadi malu berdiri sebelah peserta lain tapi teruskan larian walaupun seluar hampir terlondeh kerana fikir apa pun berlaku, saya nak habiskan larian sekalipun rakan lain sudah jauh di depan.”

“Lega dan tak sangka apabila dapat sampai juga ke garisan penamat. Gembira rasanya terutama apabila cikgu datang ucap tahniah kepada saya.”

Tambah Muhammad Aqil, dia mungkin akan sertai lagi acara olahraga di kejohanan lain jika diberi peluang.

“Saya minat main bola sepak tetapi jika diberi peluang sertai lagi lumba lari, saya sedia ambil bahagian.”

Dalam pada itu, guru pengiring Aqil yang dikenali sebagai Intan Zulaikha Jusoh, 35, rasa tersentuh dan bangga melihat kesungguhan serta semangat muridnya itu.

“Sebelum acara bermula, saya ada pesan pada dia (Muhammad Aqil) yang saya tak paksa dia menang kerana niat saya cuma nak dia sertai aktiviti sukan serta bawa dia keluar.”

“Saya harap, dia dapat habiskan larian sampai ke garisan penamat tapi kalau tak larat atau sakit, saya enggan dia paksa diri kerana faham keadaannya. Tak sangka dia memberikan saingan juga di awal larian dan sampai ke garisan penamat, itu yang buat saya kagum dengan semangatnya.”

“Niat saya berlari bersama dia ketika itu sekadar untuk terus memberikan semangat pada dia untuk teruskan larian sampai ke garisan penamat, teman dia dan tak nak dia berasa yang dia lari berseorangan sebab kawan lain sudah jauh ke depan, itu saja.”

Screenshot 2023 08 29 180003

Sementara itu, ibu Aqil, Noor Hafizah Mat Desa, 36, pula tidak dapat hadir menyaksikannya dan merasa ralat kerana terikat dengan urusan kerja. Namun begitu, Noor Hafizah bangga dengan pencapaian anaknya walaupun tidak meraih kemenangan.

“Bukan rezeki saya untuk tengok Aqil (nama panggilan) berlari pada hari itu kerana saya ingatkan kejohanan berlangsung pada 24 Ogos, rupa-rupanya hari sebelumnya. Tapi cikgu ada kongsi gambar dan video jadi memang bangga bukan kerana kisah Aqil tular tetapi dia memang pembakar semangat untuk saya.”

Screenshot 2023 08 29 180055

“Mana-mana ibu pun tentu akan bangga jika mereka di tempat saya dan itu rezeki dia, Allah sudah aturkan. Sebelum ini pun, Aqil minat main bola sepak dan saya tak pernah halang dan akan cuba penuhi keinginannya selagi dia tahu jaga kesihatan kerana tak nak Aqil berasa ada kekurangan,” katanya.

Orang yang istimewa macam ni pun rajin bersukan, kita yang sihat tubuh badan ni? 

Baca : “Ni baru betul susah senang bersama” – Tak Ambil Pusing, Netizen Salute Geng Atlet OKU Ini Jawab Pertanyaan Orang

Ft Atlet Oku

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.