Hujung minggu lalu, perbincangan mengenai pernikahan di negara jiran, Thailand menjadi salah satu topik yang hangat dibualkan di media sosial.
Disebabkan itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengeluarkan kenyataan di mana pihak mereka tidak sesekali mengiktiraf mana-mana individu atau pihak yang membawa pasangan tempatan nikah di luar negara termasuk Thailand walaupun pernikahan itu sah di sisi Islam.
Dalam laporan Utusan Malaysia, Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menegaskan tiada sebarang kerjasama dilakukan dengan pihak yang menawarkan pakej pernikahan seumpama itu.
Malah, pengiktirafan juga tidak diberikan kepada pasangan yang gagal mendaftar dan perlu membayar denda kepada mahkamah.
MAIS menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai pendaftar dan jurunikah mencukupi di setiap daerah negeri ini.
“Keadaan itu menunjukkan bahawa tiada sebarang larangan kepada mana-mana pasangan Islam untuk bernikah menerusi prosedur yang ditetapkan.
Namun, masih ada pasangan mahu bernikah di luar negara dan kita tidak pernah mengiktirafnya termasuk pihak yang menawarkan pakej itu,” katanya.
Beliau turut berkata, pasangan yang bernikah di luar negara tidak akan dapat mengelak untuk mendaftarkan pernikahan dengan Jabatan Agama Islam malah perlu membayar denda.
“Kita telah mempunyai peraturan dan undang-undang sedia ada yang tidak mengiktiraf perkara seumpama itu.
Kenapa perlu membayar denda sedangkan kemudahan sudah disediakan sepenuhnya pihak bertanggungjawab untuk proses pernikahan yang sah,” jelasnya.
Selain itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan tindakan itu berpunca masalah peribadi atau rumahtangga namun ia sewajarnya perlu dielakkan.
Kahwin je kat Malaysia okay guys, takyah bayar denda…
Baca: Agensi Pernikahan Thailand ‘Promote’ Pakej Di FB Raih Perhatian Netizen Malaysia