Akibat mahu memiliki wajah seiras anggota kumpulan K-Pop popular, Jimin BTS, pelakon kelahiran Kanada sanggup melakukan 12 pembedahan kosmetik sehingga meragut nyawanya.
Menurut Sinar Harian, Saint Von Colluci, 22, mengalami komplikasi akibat pembedahan yang dilaluinya beberapa bulan lalu dan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir tiga hari lalu di sebuah hospital di Korea Selatan.
Ejen publisiti Colucci memaklumkan kepada Daily Mail bahawa artisnya itu mengalami jangkitan akibat pembedahan implan rahang pada November 2022 sebelum terpaksa menjalani pembedahan pada malam Sabtu lalu bagi mengeluarkannya.
Mengikut laporan portal Daily Mail, pelakon terbabit telah membelanjakan $220,000 (RM979,110) bagi membolehkannya kelihatan seperti Jimin.
Sukar dapat pekerjaan di Korea Selatan kerana berwajah kebaratan
Ujar ejennya, Colucci tidak yakin dengan penampilannya dan tidak menyukai bentuk rahang yang terlalu lebar dan mahukan bentuk ‘V’ yang dimiliki kebanyakan orang Asia.
“Dia tahu risiko pembedahan implan rahang, namun tetap ingin melakukannya. Ia satu kejadian yang sangat tragis dan malang buat Colucci,” katanya.
Tambahnya, sukar untuk mendapatkan pekerjaan di Korea Selatan dan merasa didiskriminasi gara-gara berwajah kebaratan, Colucci sanggup menukar wajahnya.
Ejennya mendedahkan Colucci menjalani 12 prosedur kosmetik sepanjang tahun lalu termasuk pembedahan rahang, implan, angkat muka, operasi hidung, angkat mata, angkat kening, pengurangan bibir dan beberapa pembedahan kecil lain.
Colucci berpindah ke Korea Selatan untuk mencipta nama dalam bidang muzik pada 2019. Dia juga menjadi pelatih untuk salah sebuah syarikat pengurusan hiburan di sana dan kesemua kos sara hidup ditanggung firma berkenaan dengan menandatangani kontrak selama tujuh tahun.
Baca: “Lain sangat dah” – Wajah Hael Husaini Nampak Berbeza, Netizen Mula Berspekulasi?