Sebut sahaja taman tema, anda pasti akan teringat kegembiraan melawat tempat-tempat menarik seperti Sunway Lagoon, Legoland ataupun Genting Highlands. Pengalaman ke taman tema sememangnya menyeronokkan apatah lagi jika bersama keluarga atau rakan-rakan. Pun begitu, harga tiket ke tempat sebegini kadangkala agak mahal.
Hal ini menyebabkan ramai orang yang ingin menghabiskan masa bersama insan tersayang di sini membatalkan niat dek caj yang mungkin melebihi bajet masing-masing. Namun kini jangan risau kerana anda boleh dapatkan tiket ke Lost World of Tambun dengan harga serendah RM1 sahaja! Biar betul ni?!
Bagi anda yang masih belum tahu, Lost World of Tambun yang terletak di Tambun, Perak sedang mengadakan promosi harga runtuh dengan tawaran istimewa digelar RM1 Wednesday. Tawaran RM1 Wednesday akan berlangsung hampir setiap hari Rabu sepanjang tahun sehingga 21 November! Lama tu!
Bagaimana nak dapatkan tiket RM1 ni? Mudah je!
Apa yang perlu dilakukan, hanya beli satu tiket dewasa berharga RM95 dan anda boleh dapat tiket kedua pada harga RM1 sahaja!
Waaah! Ini maknanya hanya RM48 sahaja seorang!
Bila tiket murah, kita terfikir pasti ada sahaja helah yang dikenakan kepada pembeli yang berkunjung. Takkanlah tiket murah tapi dapat main semua permainan, kan? Ya, anda memang boleh merasa hampir kesemua permainan dengan tiket promosi ni! Dengan tiket RM1 tersebut anda akan dapat mengakses:
- Lost World Amusement Park
- Lost World Water Park
- Lost World Tiger Valley
- Lost World Petting Zoo
- Lost World Tin Valley
- Lost World Hot Springs & Spa
- Lost World Hippo Kingdom
Paling penting, anda tak perlu berjalan atau bergerak ke mana-mana untuk mendapatkan tiket ini kerana ianya boleh dibeli secara atas talian. Taman tema di bawah pengurusan Sunway Company ini dikatakan merupakan taman tema terbesar di utara semenanjung Malaysia.
Sesuai untuk semua peringkat umur, Lost World of Tambun mempunyai banyak tarikan menarik termasuklah kolam air panas yang sesuai dijadikan tempat merehatkan diri setelah penat bekerja dan menguruskan rumah tangga.
Taman tema ini juga terletak tidak jauh dari Ipoh, lokasi cari makan popular di Perak. Oleh sebab itu, anda boleh mengisi perut dengan pelbagai juadah setelah puas berseronok di Lost World of Tambun.
Bukan itu sahaja, taman tema ini juga mengadakan promosi harga runtuh yang menawarkan lebih 50% potongan harga pada hari Khamis terpilih! Promosi dikenali sebagai Awesome Thursday ini akan berlangsung pada hari Khamis terpilih sepanjang tahun sehingga 15 November.
Untuk satu tiket dewasa yang biasanya berharga RM95, anda boleh dapat dengan harga RM30 sahaja pada hari promosi Awesome Thursday. Tujuh taman tema yang boleh diakses sewaktu di sana adalah:
- Lost World Amusement Park
- Lost World Water Park
- Lost World Tiger Valley
- Lost World Petting Zoo
- Lost World Tin Valley
- Lost World Hot Springs & Spa
- Lost World Lupe’s Adventure
Anda boleh periksa tarikh dan maklumat lebih terinci untuk promosi RM1 Wednesday dan Awesome Thursday di laman web rasmi mereka.
Dah boleh mula rancang tempat percutian seterusnya untuk tahun ni!
Baca: Paling Panjang di Dunia! Taman Tema di Teluk Bahang Bina Luncur Air Sepanjang 1 Kilometer!