Jika sebelum ini seorang remaja pernah terhentak kepala di batu konkrit kerana mahu berswafoto bersama rakan-rakan di tepi landasan kereta api, kali ini seorang lelaki dewasa pula tercedera gara-gara mahu melakukan perkara yang sama.
Menurut Harian Metro, seorang lelaki di Hyderabad tanpa sengaja telah merakam detik ngeri dilanggar kereta api ketika sedang cuba mengambil swafoto sewaktu kenderaan itu semakin menghampirinya. Lelaki dikenali sebagai Shiva tersebut dilihat sedang tersenyum ke arah kamera telefon bimbitnya sambil menuding jari ke arah kereta api tersebut.
Beberapa saat kemudian, rakaman video berkenaan menunjukkan lelaki tersebut dilanggar oleh kereta api yang melalui landasan itu lalu tercampak sebelum rakaman berkenaan terhenti. Dalam rakaman video berdurasi 16 saat itu, didapati terdapat suara seseorang memberikan amaran kepada Shiva sebelum kereta api mendekatinya.
Pun begitu, Shiva tidak mengendahkan teguran individu itu lalu meneruskan perbuatan mengundang bahaya yang dilakukannya. Mungkin tidak merasakan bahawa kereta api tersebut akan tiba secepat itu, lelaki terbabit hanya berkata “tunggu” dan terus tersenyum menunggu kereta api melalui landasan.
Setelah rakaman berhenti menunjukkan gambar, suara orang ramai bergegas ke lokasi kejadian dapat didengari dari video tersebut. Lelaki berkenaan dikatakan mendapat kecederaan di kepala gara-gara kemalangan yang berlaku namun bernasib baik kerana terselamat.
Menurut laporan, kira-kira 60 peratus kematian berpunca daripada swafoto di dunia berlaku di India. Pakar memaklumkan bahawa golongan yang obses dengan media sosial sanggup melakukan perkara ekstrem demi mendapatkan selfie yang sempurna.
Swafoto adalah untuk simpanan sepanjang hayat, namun tidak perlulah bertarung nyawa demi mendapatkan sekeping gambar yang cantik.
Tonton video Shiva sedang tersenyum berswafoto di sini:
Sumber: Youtube
Baca: Remaja Cedera Selepas Kepala Dilanggar Kereta Api Ketika Mahu Selfie di Landasan