Macam yang korang semua tahu, sejak minggu lepas, kompaun yang dikenakan kepada orang yang melanggar SOP telah pun dinaikkan ke RM10,000.
Baru-baru ini, seorang lelaki berusia 45 tahun telah dikenakan denda RM10,000 kerana tak memakai pelitup muka dengan betul.
Lelaki ini telah dikenakan saman ketika dia berada di kedai runcit Jumaat lalu jam 1.20 petang gara-gara meletakkan pelitup mukanya ke bawah dagu.
Memetik laporan dari Harian Metro, pihak polis telah pun memberikan pengesahan mengenai kejadian yang berlaku di Tanjung Piandang, Parit Buntar selepas gambar kompaun yang diberikan itu tular di media sosial.
Menurut Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, lelaki tersebut gagal memakai pelitup muka dengan betul dan hanya meletakkan pelitup muka di bawah dagu ketika memasuki dan keluar dari premis tersebut.
Katanya lagi, pegawainya hanya menjalankan tugas seperti yang diarahkan mengikut Seksyen 21A (1) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.
Tak cukup dengan itu, Mazuki juga turut menegaskan yang ianya tak adil untuk segelintir pihak mengecam dan mempertikaikan tindakan anggota polis yang hanya menjalankan tugasan untuk kuatkuasakan undang-undang tersebut.
Pihak polis telah diberi kuasa dan kami hanya menjalankan tugas-tugas kami sebagaimana yang telah diarah dan diperintahkan kepada kami.
“Dalam notis itu, lelaki itu diberi tempoh tawaran sehingga 1 April ini untuk ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan berjumpa dengan pegawai diberi kuasa untuk membuat rayuan.”
Mazuki meminta orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.