Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus memberi diskaun bil elektrik sehingga 50 peratus kepada lebih 7 juta pengguna kediaman (Tarif A – Domestik) di Semenanjung Malaysia hingga akhir tahun ini, lapor MalaysiaGazette.
Pengurangan itu berdasarkan penggunaan elektrik bulanan dari 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020. Ia merupakan sokongan TNB terhadap usaha kerajaan untuk mengurangkan impak Covid-19 kepada rakyat dan langkah bagi membantu rakyat menyesuaikan diri dengan pemulihan semula ekonomi negara.
Menurut Ketua Pegawai Retail TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, pengurangan ini adalah lanjutan daripada Diskaun Rangsangan Ekonomi untuk bil elektrik yang diberikan bermula Mac lepas di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
Selain itu, TNB juga akan meneruskan tiga inisiatif untuk manfaat pengguna kediaman sehingga akhir tahun ini. Inisiatif itu adalah:
- Pelan Bayaran Mudah (pilihan untuk pengguna membayar bil secara ansuran tanpa surcaj tambahan)
- Pengecualian surcaj lewat bayar (bagi tempoh 18 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020)
- Penangguhan aktiviti pemotongan bekalan, kecuali permohonan daripada pengguna berdaftar dan arahan daripada pihak berkuasa
Boleh dapatkan maklumat lanjut di laman web TNB: www.tnb.com.my/prihatin atau hubungi TNB CareLine di 1-300-88-5454.