Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam dunia akademik semakin menjadi-jadi. Perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Di Scotland, lebih 1,000 pelajar dikesan menggunakan AI untuk menipu dalam tugasan dan peperiksaan tahun lalu.
Laporan menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 700 peratus, daripada 131 kes pada 2022/2023 kepada 1,051 kes pada 2023/2024.
Situasi ini membimbangkan kerana semakin ramai pelajar bergantung kepada AI seperti ChatGPT untuk menyiapkan kerja mereka.
Beberapa universiti sudah mula bertindak tegas terhadap penyalahgunaan AI. Universiti Abertay di Dundee merekodkan 342 kes, Universiti Stirling dengan 200 kes, manakala Universiti Glasgow mencatatkan 130 kes, di mana sebahagian besar pelajar telah dikenakan tindakan disiplin.
Artikel berkaitan: “Pokemon!” – Jaclyn Victor Bengang Gambar Disalah Guna Untuk Sebar ‘Fake News’
Artikel berkaitan: Ada Netizen Tuduh Maskot Visit Malaysia 2026 Dibuat Menggunakan AI, Anak Pelukis Tampil Pertahan Bapa

Universiti lain seperti Robert Gordon, Glasgow Caledonian, Edinburgh dan St Andrews juga melaporkan kes pelanggaran akademik yang melibatkan AI.
Namun, ada beberapa universiti yang tidak menyimpan rekod khas atau menganggap kes AI sebagai sebahagian daripada pelanggaran akademik biasa.
Menurut Miles Briggs, jurucakap pendidikan Scottish Conservative, peningkatan kes ini memberi gambaran bahawa masalah ini mungkin akan bertambah buruk jika tidak dikawal.
“Jika pelajar terus menggunakan AI untuk menipu, ia boleh menjejaskan reputasi universiti di peringkat antarabangsa,” katanya.
Satu tinjauan terhadap 1,000 pelajar sarjana muda di universiti British pula mendapati 88 peratus daripada mereka mengaku menggunakan AI dalam penilaian akademik, meningkat daripada 53 peratus tahun sebelumnya.