in

Kuala Lumpur Diiktiraf UNESCO Sebagai ‘City of Design’

6KL

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Ibu negara Malaysia kini melakar sejarah tersendiri apabila secara rasmi diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai City of Design, menjadikannya antara bandar dunia yang menonjol dalam bidang reka bentuk, inovasi dan kreativiti. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen Kuala Lumpur dalam menjadikan kreativiti sebagai pemacu utama kepada pembangunan bandar yang mampan dan inklusif.

Screenshot 2025 11 02 at 10.52.02 AM

Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pengiktirafan tersebut merupakan pencapaian besar yang selari dengan usaha global dalam memperkukuh peranan reka bentuk sebagai asas pembangunan lestari. Ia juga seiring dengan aspirasi Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 dan inisiatif Warisan KL, yang menekankan perancangan bandar berasaskan reka bentuk, kesejahteraan komuniti serta pemeliharaan identiti budaya.


DBKL menjelaskan bahawa kejayaan ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, komuniti kreatif, institusi akademik dan industri reka bentuk. Sinergi tersebut telah membentuk ekosistem reka bentuk yang dinamik dan berdaya saing, sekaligus meletakkan Kuala Lumpur sebagai bandar yang berpotensi menjadi hab kreatif serantau di Asia Tenggara.

Sebagai City of Design, Kuala Lumpur dijangka akan terus menarik pelaburan serta bakat dalam sektor ekonomi kreatif, di samping memperkukuh dasar perancangan bandar berasaskan reka bentuk dan kesejahteraan sosial. Melalui UNESCO Creative Cities Network, bandar raya ini juga akan berpeluang menjalin kerjasama global bagi memperluas pertukaran idea dan inovasi dalam bidang reka bentuk serta pembangunan lestari.

Screenshot 2025 11 02 at 10.51.39 AM

DBKL turut menegaskan bahawa reka bentuk akan dijadikan pemangkin utama dalam pelbagai sektor seperti pembangunan infrastruktur, kebudayaan dan komuniti. Usaha ini bertujuan memastikan Kuala Lumpur bukan sahaja menjadi bandar moden dan berdaya saing, tetapi juga inklusif, berdaya huni serta kaya dengan nilai estetika dan budaya. Dengan pengiktirafan ini, Kuala Lumpur kini menyertai senarai bandar UNESCO di Malaysia termasuk George Town, Melaka, Ipoh, Kuching, Langkawi dan Banjaran Crocker.

Sumber: Buletin TV3

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.