Pasangan curang mempunyai pelbagai sebab untuk mewajarkan tindakan mereka, seperti tak mendapat layanan yang baik. Selain itu, mereka juga akan cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan kecurangan mereka dengan pelbagai cara.
Macam kisah yang berlaku pada sekitar tahun 1920-an ni. Ia melibatkan seorang wanita bernama Dolly Oesterreich yang telah menyembunyikan kekasih gelap di dalam rumahnya sendiri walaupun telah bersuami.
Permulaan hubungan sulit Dolly Oesterreich
Walburga ‘Dolly’ Oesterreich merupakan seorang suri rumah yang berusia awal 30-an dan telah berkahwin dengan seorang pemilik kilang apron Milwaukee, Fred Oesterreich.
Fred merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya dan sering bekerja untuk jangka masa yang panjang sehingga membuatkan Dolly rasa tersisih dan kemahuannya sebagai isteri tak dipenuhi.
Pada musim luruh 1913, Dolly menelefon Fred untuk memberitahu tentang mesin jahitnya yang rosak. Suaminya kemudian berjanji untuk menghantar tukang baiki mesin ke rumah.
Pemuda yang tiba untuk membaiki mesin jahit tersebut merupakan Otto Sanhuber yang baru berusia 17 tahun.
Seperti mengetahui bahawa Fred akan menghantar remaja yang bekerja dengan suaminya itu, Dolly telah menyambut ketibaan Otto dengan memakai pakaian yang memikat iaitu jubah dan stoking. Maka bermulalah hubungan sulit di antara Dolly dan Otto yang bertahan selama satu dekad.
Tindakan Dolly sembunyikan kekasih gelap di rumah sendiri
Pada awalnya, Dolly dan Otto telah melayari perhubungan mereka seperti orang lain yang mempunyai kekasih gelap iaitu dengan berjumpa di hotel-hotel untuk meneruskan perhubungan seksual mereka.
Namun begitu selepas beberapa lama, cubaan untuk berjumpa di luar secara sembunyi ini menjadi lebih sukar hingga membuatkan kedua-dua mereka mula berhubungan di katil Dolly dan Fred. Tak lama selepas itu, jiran-jiran mula bertanya tentang lelaki yang sering dilihat hadir ke rumah Dolly dan wanita ini mengatakan bahawa lelaki tersebut merupakan adiknya yang gemar berhijrah.
Selepas menyedari yang mereka dah mula diperhatikan, Dolly menyuruh Otto untuk tinggal di loteng rumahnya. Dengan cara ini, Otto tak akan dilihat keluar masuk dari rumahnya. Otto berhenti kerja di kilang Fred dan mula menghabiskan masanya di tempat penyembunyian barunya itu.
Aturan baru ini bermakna Otto tak boleh meninggalkan loteng tersebut sekiranya dia tak mahu ada orang lain melihatnya. Pemuda ini telah tinggal di loteng tersebut dan menghabiskan masanya dengan menulis cerita-cerita fiksyen pulpa.
Di waktu malam, dia akan baca cerita-cerita misteri menggunakan cahaya lilin dan tulis cerita tentang pengembaraan dan nafsu berahi. Pada waktu siang, dia akan melakukan hubungan seksual bersama Dolly Oesterreich atau menolongnya mengemas rumah.”
Dolly dan Otto telah meneruskan perhubungan pelik mereka ini selama lima tahun. Kemudian pada 1918, Fred memberitahu Dolly yang dia mahu menjual rumah mereka dan berpindah ke Los Angeles.
Enggan hubungan dengan kekasihnya berakhir, Dolly telah menemui sebuah rumah yang mempunyai loteng di Los Angeles dan menghantar Otto ke sana terlebih dahulu.
Kehidupan mereka diteruskan dengan cara yang sama di rumah baru selama empat tahun lagi sehinggalah sesuatu yang buruk telah berlaku pada 22 Ogos 1922.
Cinta tiga segi yang berakhir dengan pembunuhan?
Pada 22 Ogos 1922, Otto telah terdengar pertengkaran yang berlaku di antara Dolly dan Fred. Disebabkan ini, Otto telah masuk ke dalam bilik tidur pasangan tersebut dengan membawa pistol. Fred yang mengenali Otto sebagai bekas pekerjanya itu telah naik angin apabila melihat pemuda tersebut dan dua lelaki ini mula bergelut sehingga Fred ditembak.
Panik, Otto telah mengunci Dolly di dalam almari dari luar, ambil kunci dan pistol bersama dengannya dan bersembunyi di loteng. Dia tahu bunyi tembakan tersebut akan buatkan jiran-jiran membuat laporan polis. Dengan cara ini, Dolly akan mempunyai alibi, dia tak mungkin boleh menembak suaminya bila dikunci dari luar.
Apabila pihak polis tiba, Dolly memberitahu bahawa telah berlaku kejadian pecah rumah di mana perompak telah mengambil beberapa barangan berharga dan menguncinya di dalam almari sebelum melarikan diri. Pihak polis curiga dengan jalan cerita tersebut namun membuat keputusan untuk melepaskan Dolly.
Dolly ditahan atas tuduhan membunuh suami
Selepas menjadi janda, Dolly telah berpindah ke rumah baru dan meneruskan kehidupannya. Otto turut mengikut kekasihnya itu pindah, tapi mereka tidak menjalani hubungan seperti biasa. Sebaliknya, Otto telah duduk di loteng sekali lagi.
Cerita-cerita fiksyen pulpa yang ditulis oleh Otto Sanhuber telah berjaya diterbitkan dan dengan duit tersebut, lelaki ini telah membeli mesin menaip untuk terus menulis. Sementara itu, Dolly telah mendapat kekasih baru iaitu seorang peguam, Herman S. Shapiro.
Seperti Fred, Herman juga turut menghabiskan kebanyakan masanya untuk bekerja menyebabkan Dolly telah mencari teman lelaki baru, Roy Klumb. Namun niat Dolly bersama Roy adalah untuk meminta lelaki ini membuang pistol-pistol yang digunakan untuk membunuh Fred.
Dolly telah memujuk Roy untuk membuat satu pistol dengan mengatakan senjata tersebut serupa dengan pistol yang digunakan oleh perompak dan enggan mendapat susah nanti. Roy menurut permintaan wanita tersebut dan membaling senjata tersebut di La Brea Tar Pits iaitu satu tapak kajian paleontologi.
Dolly kemudiannya telah meminta jirannya untuk menanam satu lagi pistol di lamannya dengan menggoda lelaki tersebut.
Jadi apabila Dolly berpisah dengan Roy, lelaki ini telah pergi ke balai polis dengan kisah wanita tersebut. Pistol yang dibuang kemudiannya diambil semula dan Dolly telah ditahan. Manakala jirannya pula telah memberi pistol yang ditanam kepada polis. Tapi kedua-dua pistol tersebut tak dapat dikaitkan dengan Dolly kerana telah berkarat.
Ketika Dolly di dalam penjara menunggu perbicaraan, wanita ini telah merayu kepada Herman untuk membeli makanan kepada Otto dengan mengatakan bahawa lelaki yang tinggal di loteng tersebut adalah adiknya. Namun apabila Herman pergi ke sana, Otto telah memberitahu perkara sebenar tentang hubungannya dengan Dolly.
Herman kemudiannya telah menghalau Otto dan berjaya membebaskan Dolly dengan ikan jamin. Tak terganggu dengan hubungan wanita tersebut sebelum ini, Herman telah berpindah masuk ke rumah Dolly dan membatalkan kesemua tuduhan ke atas wanita tersebut.
Tujuh tahun kemudian, apabila hubungan Dolly dan Herman menjadi tegang, lelaki ini telah berpindah keluar dan memberitahu pihak polis tentang jenayah yang dilakukan oleh Dolly terhadap Fred Oesterreich. Waran dikeluarkan kepada Dolly dan Otto.
Ketika perbicaraan, juri memutuskan bahawa Otto telah bersalah kerana membunuh tanpa niat walaupun selepas peguam belanya mengatakan bahawa Dolly telah memperhambakannya.
Perbicaraan tersebut dianggil sebagai kes ‘Bat-man’ ekoran keadaan Otto yang dibiarkan terkurung di dalam loteng seperti gua. Walaupun disabit bersalah statut had ke atasnya telah habis menyebabkan Otto bebas.
Dolly pula telah dibicarakan atas tuduhan bersubahat dan dibebaskan selepas juri tak dapat membuat keputusan sebulat suara. Dakwaan ke atasnya kemudiannya dibatalkan secara rasmi pada 1936.
Dolly kemudiannya meninggal dunia pada 1961 di usia 80 tahun.
Sumber: ati