in

Ketukan Misteri Makin Tular, Polis Pesan Jangan Buka Pintu Kalau Tak Pasti Siapa Di Luar

Syaz Ft 2026 08 18T170428.445

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pihak polis kini tampil memberi maklum balas berhubung dakwaan gangguan bunyi ketukan pintu misteri yang dilaporkan berlaku di beberapa kediaman penduduk sekitar kawasan Langgar, Alor Setar, Kedah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, pihak polis sedia maklum mengenai isu yang sedang tular di platform media sosial itu, memandangkan terdapat beberapa penduduk mendakwa kediaman mereka diganggu bunyi ketukan kuat pada pintu utama mahupun pagar rumah sewaktu malam.


Artikel berkaitan: “Musim orang duk pelepas ka?” – Penduduk Sekitar Alor Setar Dakwa Dengar Bunyi Ketukan

Artikel berkaitan: Dakwa Terdengar Bunyi Ketukan Pintu, Lelaki M*ut Jatuh Dari Tingkat 27 Selepas ‘Check-in’ Dengan Tunang

Walau bagaimanapun, beliau mengesahkan tiada sebarang aduan rasmi dikemukakan oleh penduduk yang terjejas setakat ini.

 

View on Threads

 

“Sehingga kini, pihak polis belum menerima sebarang laporan polis rasmi daripada mana-mana pihak. Pihak polis juga masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian,” katanya di sini hari ini.

Elak Buat Spekulasi, Utamakan Keselamatan

Pihak polis turut menggesa masyarakat awam agar tidak membuat andaian liar atau menyebarkan dakwaan yang tidak sahih sehingga menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat tempatan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Syed Basri mengingatkan orang ramai supaya lebih peka dengan tahap keselamatan kediaman masing-masing. Penduduk dinasihatkan untuk sentiasa memastikan pintu dan pagar rumah dikunci dengan kemas, terutamanya apabila menjelang waktu malam.

Paling utama, beliau menegaskan agar orang ramai tidak mengambil risiko dengan membuka pintu secara melulu sekiranya terdengar bunyi ketukan yang mencurigakan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuka pintu atau pagar sesuka hati apabila terdengar ketukan, khususnya sekiranya identiti individu di luar rumah tidak dapat dikenal pasti.

Sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan atau kelibat individu tidak dikenali, orang ramai diminta supaya tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta segera menghubungi balai polis berhampiran,” ujarnya.

Rondaan Polis Ditingkatkan

Dalam pada itu, pihak polis amat mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan fenomena tersebut untuk tampil membantu proses siasatan.

“Pihak polis juga akan meningkatkan rondaan dan pemantauan di sekitar Langgar serta kawasan berhampiran bagi memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan penduduk setempat terus terpelihara,” tambahnya.

Langkah kawalan keselamatan yang diperketatkan ini diharapkan dapat mengurangkan rasa bimbang penduduk setempat, di samping memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sementara pihak polis melengkapkan siasatan mereka.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.