in

Kes Bunuh Isteri & Anak: Polis Jumpa Mayat Ke-3 Di Pantai, Suspek Dakwa Anak Dirasuk

lelaki bunuh isteri dan anak Alor Setar

Tergamak seorang bapa apabila bertindak kejam sehingga mencabut sendiri nyawa isteri dan anak-anaknya.

Sebelum ini, polis melaporkan penemuan mayat ibu dan anak perempuan dengan kesan kelar di leher ditinggalkan dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar di sekitar Alor Setar, Kedah.

Hasil risikan pantas, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun yang merupakan suami dan bapa kepada mangsa.

Artikel berkaitan: “Terdapat kesan kelar” – Dua Mayat Dalam Longkang Rupanya Ibu & Anak, Bapa Ditahan

Polis jumpa mayat ke-3

Penahanan lelaki itu turut membawa kepada penemuan seorang lagi mayat kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun, dipercayai anak bongsu di Pantai Leman, Kuala Kedah.

Mayat mangsa ditemukan terdampar oleh orang awam di pantai itu kira-kira pukul 12 tengah hari Selasa.

Media melaporkan keadaan fizikal kanak-kanak itu sempurna, namun terdapat kesan kelar pada bahagian leher sama seperti kecederaan yang dialami ibu dan kakaknya.

Jasad anak kecil itu di percayai dibuang ke dalam longkang di Jalan Pegawai (lokasi mayat ibu dan kakak) iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian sebelum hanyut ke laut.

WhatsApp Image 2024 08 20 at 4.01.12 PM

Suspek minta imam rukyah, dakwa anak dirasuk

Pada malam kejadian, suspek sempat memohon bantuan imam Masjid Al-Hidayah Bukit Pinang untuk merukyahkan seorang lagi anaknya yang didakwa dirasuk.

“Sebelum kejadian, saya ada majlis tahlil dan nak cepat, lelaki tersebut kata anak lelakinya tidak sihat dan mendakwa dirasuk hingga menyebabkan perutnya buncit.

“Saya pegang kepala anaknya dan baca al-Fatihah dan ayat Kursi dalam dua tiga minit,” kata Imam Mohd Fauzi Bakar.

Screenshot 2024 08 21 104453

Kata imam itu, suspek juga ada meminta izin untuk bermalam di masjid bersama anaknya yang berusia 5 tahun sebelum ditahan polis.

Menurut laporan polis, suspek yang hidup secara gelandangan bersama isteri dan anak-anaknya itu turut positif tiga jenis dadah iaitu amphetamine, methamphetamine dan mop.

Polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan dipercayai akibat keganasan rumah tangga. Suspek yang ditahan reman disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian, Kosmo!, Harian Metro