Niat mahu mendapatkan sajian berkhasiat menerusi program Makan Bergizi Gratis (MBG), berakhir dengan satu tragedi hitam buat seorang pelajar perempuan di Indonesia.
Mana tidaknya, seorang siswi tingkatan empat yang dulunya aktif dan pandai di sekolah kini terpaksa terlantar di hospital selepas mengalami komplikasi kesihatan yang sangat serius disyaki akibat keracunan makanan.
Tiga Minggu Terlantar, Alami Kejang & Hilang Ingatan
Menurut laporan media tempatan, mangsa yang dikenali sebagai Febiona Purba, 16, merupakan pelajar dari SMK Bersama Berastagi, Kabupaten Karo, Sumatra Utara. Ibu mangsa, Elvinus Lusiana Sitanggang, 49, memaklumkan bahawa anak kesayangannya itu mula menunjukkan gejala tidak sihat sejurus selepas makan hidangan MBG berlaukkan ikan tongkol pada 13 Ogos lalu.
View this post on Instagram
Pada awalnya, Febiona hanya mengalami pening kepala, gatal-gatal, muntah dan sesak nafas sebelum pengsan secara tiba-tiba.
Namun, penderitaannya tidak terhenti di situ apabila kondisinya dilaporkan semakin membimbangkan selepas mengalami kekejangan otot berulang kali, perubahan pada lidah hingga sukar bercakap, malah lebih menyedihkan apabila dia tidak lagi mengenali ahli keluarga dan rakan-rakan sekolahnya.
“Kondisi Febiona beberapa kali memburuk hingga mengalami kejang… dia juga sempat tidak mengenali anggota keluarga maupun teman-teman sekolahnya,” ulas laporan berkenaan.
Apa yang membuatkan ramai sebak, Febiona bukanlah pelajar yang biasa. Dia dikenali sebagai seorang pelajar yang sangat cemerlang di sekolah apabila sentiasa mendapat juara satu (nombor 1) di dalam kelasnya, selain amat aktif memegang jawatan sebagai Wakil Ketua OSIS (Pengawas / Majlis Perwakilan Pelajar).
Ekoran keadaannya yang tidak menunjukkan tanda-tanda pulih sepenuhnya selepas tiga minggu, mangsa telah dirujuk ke RSUP H. Adam Malik, Medan bagi menjalani pemeriksaan komprehensif. Pihak hospital telah melibatkan pelbagai doktor pakar termasuk pakar neurologi kanak-kanak, gastroenterologi, dan psikiatri, serta ujian elektroensefalogram (EEG) untuk memantau keadaan otaknya.
Hasil Makmal Temui Bakteria Bahaya
Terdahulu, keputusan ujian makmal yang beredar di media sosial mengesahkan kewujudan beberapa jenis bakteri berbahaya seperti Bacillus cereus, Staphylococcus aureus (S. aureus), dan Escherichia coli (E. coli) pada sampel makanan dan sampel muntah pelajar yang terjejas.
Doktor tempatan menyifatkan pencemaran silang (cross-contamination) itu berkemungkinan besar berlaku sewaktu proses pengagihan dan pembungkusan makanan oleh pengendali yang tidak mematuhi piawaian kebersihan.
Kini, pihak keluarga dan orang ramai hanya mampu berdoa agar Febiona kembali pulih seperti sedia kala untuk meneruskan pelajarannya.
Sumber: Jektv
