Bagi menangani kos sara hidup rakyat dalam jangka masa panjang, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub bercadang untuk mewujudkan sejenis pasar raya yang menjual barangan keperluan harian dengan harga ‘Rahmah’.
Menerusi Astro Awani, beliau menjelaskan bahawa pihaknya akan mengadakan satu sesi libat urus bersama individu-individu yang ada potensi untuk menjadi pelabur bagi merealisasikan hasrat tersebut.
“Saya sudah mula berfikir sekiranya syarikat-syarikat hypermarket yang bukan hanya dalam negeri tetapi multinasional seperti Lotus’ dan Aeon Big ini, kenapa tidak kita cuba untuk wujudkan supermarket untuk mampu milik?”
“Saya pernah melawat United Kingdom (U.K) dan Amerika Syarikat (A.S) ada ‘hypermarket’ yang menjual barang mampu milik kerana barang-barang yang mahal adalah jenama namun kualiti tetap sama, keuntungannya juga agak memberangsangkan untuk turut serta,” katanya di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang mahu tahu bagaimana penglibatan pasar raya mini dan kedai runcit tentang jualan Rahmah.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata bahawa di negara ini, ada ramai individu yang mampu untuk menyumbang dan bekerjasama dengan pasar raya bagi melaksanakan cadangannya tersebut.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, kerajaan tidak pernah memaksa mana-mana kedai runcit dan pasar raya mini membuat jualan Rahmah seperti yang dilaksanakan oleh hypermarket.
Terdahulu, Salahuddin berkata Jualan Rahmah yang dilancarkan pada 11 Januari lalu telah diperluaskan ke seluruh negara dengan penglibatan dan kerjasama daripada pengamal industri peruncitan seperti pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan sebagainya.
Baca : Menu Rahmah Serendah RM2 Dalam ‘Vending Machine’ Bantu Jana Pendapatan B40