in

Kenapa Azam Tahun Baharu Selalu Gagal? Ini 5 Cara Untuk Pastikan Azam Tahun Baharu Kita Tercapai

Featured LM 68

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Setiap kali tahun baharu bermula, ramai akan ambil peluang ni untuk tentukan azam baru sebagai tanda permulaan baharu. Daripada perubahan gaya hidup hinggalah matlamat peribadi, azam baru selalu dilihat sebagai langkah pertama untuk kita menjadi orang yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Tapi secara realitinya, tak semua azam dapat bertahan lama seperti yang kita sangkakan. Bukan sebab kita kurang usaha, tapi mungkin sebab kita terlalu memaksa diri untuk berubah hanya kerana angka pada kalender sudah bertukar.


Jadi kalau tahun 2026 hanyalah sekadar pertukaran angka, apakah cara yang lebih realistik untuk kita tentukan azam supaya ianya mudah untuk dicapai? Sebelum tu, mari kita fahami maksud azam dulu.

Artikel Berkaitan: Ini 8 Isu Selebriti Malaysia Yang Paling ‘Trending’ Di Media Sosial Tahun 2025 – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Ini 11 Peristiwa Yang Telah Berlaku Dalam Negara Sepanjang Tahun 2025 – Lobak Merah

Apa maksud azam? 

Featured LM 69

Secara umum, azam ialah sifat tekad atau sesuatu niat untuk mencapai sesuatu matlamat atau membuat perubahan dalam hidup. Azam juga adalah keputusan yang dibuat dengan kesungguhan untuk memperbaiki diri atau mencapai sesuatu yang bermakna, menjadikannya ia bukanlah sekadar perasaan untuk berangan saja.

Tapi dalam konteks tahun baharu ni, selalunya azam dijadikan sebagai permulaan baharu untuk menentukan matlamat dan merancang langkah-langkah untuk mencapainya.

Apa yang membezakan azam daripada sekadar berangan ialah komitmen dan usaha yang kita sanggup korbankan demi menjadikannya kenyataan.

Jadi, kalau korang nak azam tahun 2026 betul-betul tercapai dan tidak terhenti separuh jalan macam tahun-tahun sebelumnya, berikut adalah cara paling praktikal untuk memastikan azam tahun baharu korang boleh dicapai.

1. Bersikap realistik  

4 2

Azam yang kita selalu dengar setiap tahun mesti sama ada ‘nak kurus’ atau ‘nak beli rumah’ dan macam-macam lagi.

Masalahnya, azam yang terlalu idealistik dan sukar untuk dicapai akhirnya nanti hanya akan membuatkan kita rasa tertekan. Bukanlah kata azam sebegitu tidak realistik, namun seeloknya kita fokus pada perkara yang lebih penting dan mampu dibuat untuk diri sendiri dengan mengenal pasti langkah-langkah kecil yang boleh dijalankan setiap hari.

Bersikap realistik ni juga bukan bermakna menyekat impian besar korang, tapi ia juga memastikan azam yang ditetapkan adalah sesuatu yang mampu untuk dicapai tanpa mendatangkan tekanan yang melampau.

Mungkin cara yang paling praktikal adalah dengan fokuskan apa yang boleh dijadikan sebagai motivasi diri, apa yang boleh melelahkan korang dan macam mana nak perbaiki sikap yang negatif supaya perubahan yang dirancang betul-betul menjadi kenyataan.

2. Fahami sebab di sebalik azam  

5 2

Biar kecil sekalipun azam yang ditetapkan, ia akan jadi susah untuk dicapai kalau kita sendiri tak faham kenapa pentingnya nak laksanakan azam yang dirancang.

Sebelum tetapkan azam tahun baharu, perkara yang paling penting adalah fahami sebab azam itu ditetapkan. Tanpa pemahaman yang jelas, berkemungkinan besar kita pun takkan jadikan azam sebagai keutamaan dalam hidup dan sekaligus menyebabkan ia akan mudah terhenti separuh jalan.

Kadang-kadang ada orang tetapkan azam hanya kerana ikut trend di media sosial, tanpa sedar sama ada azam itu benar-benar memberi manfaat kepada diri sendiri, boleh dicapai dalam tempoh masa tertentu, atau tidak menyusahkan kehidupan seharian.

Jadi, ianya semua bebalik pada diri sendiri dan fahami sebab di sebalik azam itu sendiri. Adakah azam ini betul-betul boleh bawa manfaat sebenar kepada diri sendiri atau adakah ia sekadar untuk tampil baik di mata orang lain?

3. Bagi ruang untuk diri sendiri 

6

Bila dah tetapkan azam baru, ianya sangat penting untuk selalu beri ruang kepada diri sendiri dan tidak terlalu terikat dengan pemikiran seperti kita tak boleh gagal atau kita kena buat sampai jadi.

Sebab bila terlalu tegas dengan diri sendiri, kita mudah berasa gagal bila tersilap sekali, meskipun itu adalah sebahagian kecil daripada proses untuk mencapai azam. Sehebat mana pun kita konsisten berusaha, pasti akan ada satu hari nanti yang kita akan buat kesilapan juga.

Masalah ini akhirnya akan buat kita berasa gagal sebab kita hanya merancang untuk menjadi versi diri yang paling terbaik dan tidak bersedia untuk menghadapi hari yang tak dijangka akan berlaku.

Jadi dengan memberi ruang pada diri sendiri, kita boleh menetapkan matlamat dengan lebih fleksibel dan realistik. Fleksibiliti mengikut situasi membolehkan kita belajar dan perbaiki diri, menyesuaikan diri dan sentiasa positif dalam setiap proses pencapaian azam.

4. Selitkan dalam rutin harian

7 1

Salah satu cara yang tak membuatkan azam ni perkara yang membebankan ialah dengan menggabungkan tabiat baru dengan tabiat sedia ada.

Contohnya, lepas gosok gigi terus buat 10 push-up atau lepas selesai tengok telefon pada waktu malam, boleh cuba renggangkan badan selama 5 hingga 10 minit.

Kadang-kadang, ia tak perlu pun sampai kena buat satu senaman penuh, cukup sekadar langkah kecil yang diselitkan dalam rutin harian pun boleh memulakan gaya hidup sihat.

Jadi dengan menggabungkan tabiat baru bersama rutin harian yang sedia ada, ia boleh jadi lebih mudah untuk konsisten berusaha mencapai azam tahun baharu.

5. Ubah cara pemikiran 

8 1

Kalau rasa azam ni perkara yang membebankan, mungkin boleh cuba kaitkan dengan sesuatu yang boleh memotivasikan diri kita.

Kadang-kadang kita memang cuba berjimat dan menabung, tapi akhir bulan pasti rasa duit tak pernah cukup sebab sentiasa ada keinginan lain atau keperluan yang tak dijangka. Secara tak langsung, menabung pun jadi terasa berat dan tidak menyeronokkan sebab ia dilakukan tanpa hala tuju yang jelas.

Sebaliknya, kita boleh ubah cara pemikiran kita ke arah yang lebih positif. Contohnya, membuat satu tabung wang simpanan dengan niat untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri seperti percutian atau membeli sesuatu yang sudah lama diidamkan.

Dengan cara ini, kita tidak akan merasa azam yang ditetapkan seperti satu beban sebab usaha yang kita lakukan adalah sesuatu yang bermakna dan boleh beri kepuasan kepada diri kita juga nanti.

Sumber: eCentral, BBC, Vogue

Sumber: Karola G
Sumber: Aflo Images
Sumber: Iryna Imago

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.