in

“Keluarga saya tak pernah hormat isteri saya” – Ini Apa Yang Korang Perlu Tahu Tentang Konflik Keluarga Beckham

Featured LM 89

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Siapa saja tak kenal dengan pasangan selebriti pemain bola sepak David Beckham dan bekas penyanyi kumpulan Spice Girls, Victoria Beckham. Pasangan ini dikurniakan seramai empat cahaya mata iaitu Brooklyn, Romeo, Cruz dan Harper yang secara langsung menjadi perhatian umum sejak usia kecil.

Kehidupan keluarga Beckham sering dipaparkan sebagai contoh keluarga bahagia yang mewah, sehingga ramai mengidamkan dan mengagungkan hubungan kekeluargaan ini sebagai simbol keluarga yang bukan sahaja harmoni, malah berjaya dalam kerjaya masing-masing.


Namun, di sebalik imej sempurna yang ditampilkan kepada umum, terselit realiti bahawa hubungan keluarga selebriti juga tidak terlepas daripada pelbagai cabaran dan konflik dalaman.

Isu ini kembali mencuri perhatian ramai apabila Brooklyn Beckham, anak sulung kepada David dan Victoria Beckham telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang menjelaskan hubungan tegang antara dia bersama ibu bapanya.

Bahkan, Brooklyn turut menzahirkan rasa terkongkong sepanjang membesar dalam keluarga Beckham dan buat pertama kalinya dia merasai ketenangan dan kelegaan walaupun terpaksa memutuskan hubungan bersama keluarganya.

Dan yang menjadi tanda tanya ramai ialah macam mana keluarga Beckham yang terkenal dengan kemewahan dan kebahagiaan ni boleh sampai ke tahap sebegini?

Victoria dan David didakwa cuba untuk merosakkan persiapan perkahwinan Brooklyn  

peltz valentino dress
Gaun Nicola Peltz yang dibuat khas oleh jenama Valentino

Pertelagahan dalam keluarga Beckham dilaporkan bermula pada tahun 2022, iaitu ketika menjelang perkahwinan antara Brooklyn bersama pelakon Amerika Syarikat, Nicola Peltz.

Dalam kenyataan yang panjang lebar itu, Brooklyn mendakwa yang ibu bapanya sentiasa cuba merosakkan hubungannya bersama Nicola.

Difahamkan, ibunya iaitu Victoria yang juga merupakan seorang pereka fesyen telah menarik diri secara tiba-tiba daripada menyiapkan gaun perkahwinan untuk Nicola pada saat-saat akhir. Hal ini telah menyebabkan Nicola terpaksa mencari gaun baharu dalam jangka masa yang pendek.

Tetapi menurut sebuah temu bual Vogue bersama penggaya peribadi Nicola pada tahun 2022, dia menyatakan yang penghasilan gaun perkahwinan Nicola ini telah dirancang setahun sebelumnya lagi.

Boleh kata ini merupakan antara pengalaman eksklusif dalam mereka gaun perkahwinan buat Nicola,” kata Leslie Fremar yang terlibat dalam pemilihan elemen daripada pelbagai lakaran, fabrik dan sulaman terbaik untuk menghasilkan gaun impian Nicola.

Secara tak langsung, perkara ini menyebabkan warga internet membuat pelbagai spekulasi mengenai kenyataan yang dikatakan oleh Brooklyn dimana dia mendakwa ibunya tiba-tiba menarik diri daripada menyiapkan gaun perkahwinan isterinya.

Selain itu, Brooklyn turut mendakwa ibu bapanya berulang kali memaksa dan cuba memberi rasuah untuk dia menandatangani dokumen yang akan menyerahkan hak nama ‘Beckham’ ke atasnya sebelum dia berkahwin dengan Nicola secara sah.

Namun, tindakan ini akan memberi kesan kepada dia, bakal isterinya dan bakal anak-anaknya nanti. Tindakan dia untuk menolak menandatangani dokumen tersebut dikatakan telah menjejaskan hak yang dia sepatutnya diperolehi sehinggakan dia merasakan layanan daripada ibu bapanya turut berubah.

Brooklyn dilabel jahat oleh ibunya

brooklyn and family
Brooklyn bersama ibu bapanya

Cubaan Brooklyn untuk menyusun neneknya dan nenek Nicola untuk duduk bersamanya di majlis perkahwinannya turut dikeji oleh ibunya sehinggakan Victoria melabel dirinya sebagai jahat.

Brooklyn menjelaskan tindakan itu adalah ekoran kedua-dua nenek mereka kini tidak lagi mempunyai pasangan serta meja kedua-dua ibu bapa mereka pun sebenarnya terletak bersebelahan dengan meja mereka.

Mak saya siap panggil saya jahat sebab saya rancang untuk letakkan nenek saya dan nenek Nicola bersama dengan meja kami. Padahal meja kedua-dua ibu bapa kami bersebelahan saja,” kata Brooklyn dalam hantarannya menerusi laman Instagram.

Ditambah pula dengan ada ahli keluarga Brooklyn sendiri menyatakan yang mereka tidak anggap Nicola sebagai sebahagian daripada keluarga mereka sendiri walaupun Brooklyn sudah ingin mengahwini Nicola pada waktu itu.

Malam sebelum perkahwinan kami, ada ahli keluarga saya siap cakap yang Nicola bukan sebahagian keluarga kami.” 

Konflik berterusan sehingga ke perkahwinan Brooklyn dan Nicola 

victoria on brooklyn wedding
Victoria dan Beckham ketika menghadiri majlis perkahwinan anaknya

Pada April 2022, Brooklyn dan Nicola pun melangsungkan perkahwinan mereka dalam satu majlis mewah yang diadakan di kediaman keluarga Nicola di Palm Beach, Florida.

Brooklyn turut menyatakan ibunya tetap tidak berputus asa dalam cubaan merosakkan majlisnya dengan menjadi perhatian umum semasa sesi tarian pertama mereka sebagai pasangan suami isteri.

Pasangan baru berkahwin ini juga dilaporkan telah merancang beberapa minggu lebih awal agar detik tersebut kekal intim dan peribadi.

Mak saya sanggup sabotaj sesi tarian saya bersama isteri, padahal kami dah rancang beberapa minggu lepas dengan lagu yang romantis.

Dia pula menari dengan cara yang tak sopan depan orang ramai. Saya rasa sangat malu ketika itu,  katanya dalam kenyataan yang ditulis di laman Instagramnya.

Ekoran daripada ini, pasangan tersebut dikatakan terpaksa mengadakan majlis memperbaharui janji perkahwinan mereka pada Ogos 2025.

Majlis ini turut dihadiri oleh keluarga Nicola bagi memeriahkan majlis intim tersebut. Namun, ahli keluarga Beckham dilihat tidak hadir dalam majlis tersebut.

Majlis sambutan hari jadi David Beckham 

Screenshot 2026 01 20 151200

Pada Mei 2025, pasangan ini kembali menjadi perhatian umum apabila mereka tidak dilihat bersama ketika sambutan hari David Bekham yang ke-50 tahun.

David Beckham juga telah memuat naik sebuah hantaran di laman Instagramnya yang hanya memaparkan ketiga-tiga anaknya yang lain bersama pasangan mereka masing-masing, menjadikan ramai tertanya-tanya tentang keberadaan anak sulung mereka dan isterinya.

Namun, persoalan ini akhirnya terjawab apabila Brooklyn menjelaskan yang dia sebenarnya cuba untuk berjumpa dan meluangkan masa bersama keluarganya, terutamanya dengan bapanya. Tapi, David dikatakan enggan berjumpa dengannya kecuali waktu sambutan hari jadinya nanti, dengan syarat Nicola tidak dibawa sekali.

Dia yang menolak semua usaha kami untuk berjumpa, kecuali masa majlis hari jadinya yang mewah dengan beratus tetamu dan kamera di mana-mana.

Dan dia juga sempat selitkan syarat untuk tidak membawa sekali Nicola nanti. Saya rasa macam ada satu tamparan hebat buat saya.” 

Dakwaan mengatakan Brooklyn dikongkong oleh Nicola

brooklyn and wife

Sebulan selepas itu, ada dakwaan yang mengatakan Brooklyn dikongkong oleh Nicola selepas berkahwin.

Penjelasan panjang lebar yang dikongsi dalam laman Instagramnya baru-baru ini telah menjelaskan yang sebenarnya perasaan dikongkong ini adalah sebaliknya, iaitu Brooklyn merasakan sepanjang dia membesar, dia sering alami kegelisahan yang menyesakkan ekoran dikongkong oleh ibu bapanya yang sentiasa hauskan perhatian media.

Sejak dia berkahwin, dia tidak pernah dikongkong oleh isterinya. Malah, dia lebih bersyukur dengan pilihannya dalam memutuskan hubungan bersama keluarganya.

Enggan berbaik semula dengan keluarga 

brooklyn instagram

Pada bulan Disember tahun lalu, Brooklyn dikatakan telah ‘block’ David, Victoria dan adiknya, Cruz di media sosial yang sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan warga internet.

Disebabkan keluarganya kerap mengkritiknya di media walaupun dia cuba untuk berdiam diri, Brooklyn terpaksa mengambil keputusan untuk menghantar notis undang-undang kepada ibu bapanya yang mana mereka dibenarkan berkomunikasi menerusi peguamnya sahaja.

Brooklyn turut meminta agar David dan Victoria untuk berhenti menyebut namanya di media sosial demi menjaga batas peribadinya.

Dan pada akhirnya, situasi ini diikuti dengan penjelasan Brooklyn di laman Instagramnya ekoran dia tidak lagi boleh berdiam diri memandangkan ramai membuat spekulasi terhadap dia dan isterinya.

Dia menjelaskan yang ini adalah kali pertama dia mempertahankan dirinya dan dia tidak ingin untuk berbaik semula dengan keluarganya. Brooklyn juga menambah yang kini dia dan isterinya cuma mahu kehidupan yang lebih tenang dan privasi tanpa kawalan media.

Saya dan isteri tak nak kehidupan yang dibentuk dan dikawal oleh pihak media. Kami cuma mahukan kehidupan yang tenang, lebih privasi dan lebih bahagia selepas ini,” kata Brooklyn yang mengakhiri penjelasannya di Instagram.

Menurut portal antarabangsa, Brooklyn dan Nicola sentiasa cuba untuk memperbaiki hubungan mereka bersama David dan Victoria. Namun disebabkan sentiasa dipandang remeh, mereka akhirnya hilang kepercayaan terhadap David dan Victoria.

Sumber: Page Six, RNZ

Sumber: Vogue
Sumber: People
Sumber: Vogue
Sumber: Instagram
Sumber: Variety
Sumber: X

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.