in

Kecoh Gegaran & Bunyi Dentuman Di Ipoh, Pakar Dakwa Mungkin Ada Kaitan Ledakan Sonik

Ipoh Dentuman Gegaran

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Kecoh di media sosial, penduduk di Ipoh dikejutkan dengan satu gegaran kuat dan disusuli bunyi dentuman kira-kira 11 pagi tadi.

Insiden tersebut dirasai oleh penduduk di kawasan berdekatan yang turut berkongsikan mengenai perkara itu di media sosial.


Rata-rata daripada mereka mengakui tidak mengetahui mengenai punca menyebabkan kejadian tersebut.

Susulan kejadian itu, polis mengesahkan gegaran terbabit bukan berpunca daripada aktiviti letupan kuari atau latihan polis seperti didakwa pengguna media sosial.

Artikel berkaitan: Gegaran Di Ipoh: Ketua Polis Perak Sahkan Tiada Latihan Berkaitan Letupan

Mungkin ada kaitan ledakan sonik

Sementara itu, penganalisis pertahanan Zaki Salleh mendakwa kejadian gegaran dan dentuman kuat itu berkemungkinan berpunca daripada ledakan sonik.

Jelasnya, ledakan sonik adalah bunyi kuat berpunca dari gelombang kejutan yang dicipta sebarang objek sedang bergerak melalui udara dan mencapai kelajuan lebih pantas berbanding kelajuan bunyi.

“Ledakan sonik ini menghasilkan tenaga bunyi yang sangat tinggi kerana pesawat terbang pada kelajuan supersonik.

“Bunyi dentuman sonik ini tidak menyebabkan apa-apa kesan kepada pesawat, malah tiada berlaku letupan pun di udara.

“Kebiasaannya, protokol ketenteraan mengehadkan penerbangan supersonik kepada operasi di atas air untuk meminimumkan kesan ke atas kawasan berpenduduk,” katanya.

Bagaimanapun, Zaki menegaskan, hanya pihak berkuasa penerbangan atau tentera boleh mengesahkan punca sebenar bunyi dentuman terbabit.

Difahamkan, pihak berkuasa sedang menyiasat mengenai insiden itu dan menasihati orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.