Kepada sesiapa yang sudah biasa menaiki kapal terbang, mereka pastinya sudah masak dengan pelbagai ragam penumpang lain. Kadangkala mereka memilih untuk berdiam diri apabila berhadapan dengan suasana yang kurang senang, namun, ada kalanya mereka memilih untuk bersuara.
Jika perkara kebiasaan yang berlaku ialah penumpang di belakang menendang kerusi yang berada di hadapan mereka, kali ini lain pula ceritanya sehingga kapal terbang terpaksa membuat pendaratan kecemasan.
Menurut WORLD OF BUZZ, kapal terbang terpaksa buat pendaratan kecemasan kerana terdapat seorang warga emas lelaki yang tidak boleh berhenti kentut walaupun telah diminta oleh dua penumpang lain yang berbangsa Belanda.
Penerbangan ke Amsterdam dari syarikat penerbangan Transavia Airlines terpaksa mendarat di Vienna kerana terjadinya pergaduhan antara mereka yang turut melibatkan seorang kru kabin selepas cuba meleraikan pergaduhan antara mereka.
Setibanya mereka di Vienna, pegawai polis Austria yang ditemani anjing terlatih telah naik ke atas kapal terbang sebelum mengiringi dua lelaki Belanda dan dua adik beradik perempuan berbangsa Belanda-Maghribi turun dari kapal terbang.
Keempat-empat penumpang tersebut telah diarahkan untuk mencari alternatif lain dari Vienna ke Amsterdam memandangkan mereka telah dilarang menggunakan Transavia Airlines. Sementara itu, tiada laporan lanjut mengenai warga emas yang tidak dapat berhenti kentut terbabit dan sekiranya dia mengalami masalah kesihatan yang membawa kepada insiden tersebut.
Namun, salah seorang adik beradik berkenaan, Nora Lachhab, 25, memberitahu bahawa mereka tidak tahu kenapa dia dan adiknya turut diminta meninggalkan kapal terbang tersebut.
“Yang peliknya kami turut diminta meninggalkan kapal terbang walaupun langsung tidak mengenali lelaki-lelaki tersebut. Kami kebetulan duduk di barisan yang sama dengan mereka tetapi tidak melakukan apa-apa untuk diperlakukan begitu oleh kru Transavia.”
Walau bagaimanapun, jurucakap Transavia Airlines memberitahu bahawa kedua-dua adik beradik itu telah dilaporkan berkelakuan tidak sopan serta menghamburkan kata-kata tidak elok kepada penumpang lain.
Selain itu, jurucakap tersebut turut mengesahkan aduan mengenai lelaki yang tidak dapat menahan kentutnya sewaktu berada di dalam penerbangan tersebut.
Kalau nak tegur, tegurlah dengan cara yang baik.
Nota: Gambar yang digunakan adalah sekadar hiasan.
Baca: Kru Kabin AirAsia Berjaya Tangkap Lelaki Curi Duit Para Penumpang Ketika Penerbangan