Sebahagian pengantin akan melalui pengalaman diaju beberapa soalan berkaitan agama daripada pihak Tok Kadi ketika proses ijab kabul sebagai cara untuk menghilangkan gementar mereka.
Pun begitu, tindakan sebegitu juga dirasakan melampau jika membuatkan pihak pengantin tidak selesa sekali gus menyulitkan urusan pernikahan.
Perkara itu dikongsikan oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong yang kesal dengan insiden yang berlaku di depan mata ketika dia menghadiri majlis pernikahan sepupu sebelah isterinya di sebuah masjid di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.
Artikel berkaitan: Dakwa Lafaz ‘Susah’ Di Malaysia, Ramai Kongsi Pengalaman Akad Nikah Di Luar Negara
Artikel berkaitan: “Dah ready nak nikah?” – [VIDEO] Ini Prosedur Sebelum Nikah Dari JAWI Yang Korang Kena Buat
Kongsinya, saksi mengajukan bermacam soalan yang sudah pun ditanya pihak bapa pengantin. Bapa pengantin perempuan ada meminta saksi terbabit supaya berhenti mengajukan pertanyaan dan mahu pasangan itu dinikahkan segera, tetapi dia diminta bersabar kerana saksi ingin mengajukan soalan lain lagi dan meminta pengantin mengulang lafaz nikah.
“Set salinan pakaian ada berapa? Bila pi kursus kahwin? Kenapa 3 bulan bukan sekali? Baca syahadah, baca Fatihah, selawat. Baca kuat sikit tak dengar.”
View this post on Instagram
Tambah Firdaus, ketika itu dia melihat wajah ibu pengantin lelaki sedang menahan geram sambil menggeleng kepala beberapa kali.
Melihat keadaan itu, Firdaus kemudiannya meminta jurunikah dan saksi untuk mempercepatkan majlis pernikahan namun mendakwa dirinya pula dimarahi kerana dianggap telah mengganggu urusan nikah.
Namun, Tok Kadi memarahinya dengan berkata sudah dipesan sejak awal tiada siapa boleh menyampuk sewaktu majlis sedang berlangsung.
“Saya dah buat benda ni 10 tahun dah. Kalau awak tak puas hati, saya boleh je batalkan majlis pernikahan ini dan suruh depa pi nikah kat pejabat agama je,” kata Tok Kadi.
Kesal dengan apa yang berlaku, Firdaus menyatakan pendapatnya bahawa prosedur yang dilakukan oleh pihak masjid berkenaan adalah sama sekali tidak betul.
“Saya sendiri juga bernikah di Kedah dan menghadiri banyak majlis pernikahan di Kedah. Tiada adegan buli. Tidak perlu memecat tetapi menegur mereka agar mengikut prosedur dan jangan menyulitkan urusan orang lain.”
Ramai dakwa turut jadi mangsa buli di masjid sama
Dalam perkembangan terbaharu, Firdaus memaklumkan bahawa ahli keluarga pihak pengantin sudah membuat laporan dan aduan kepada jabatan agama berhubung prosedur yang dilakukan pihak masjid berkenaan.
Difahamkan, Tok Kadi terbabit merupakan seorang imam masjid manakala saksi yang membuli pengantin lelaki adalah seorang muazzin di masjid tersebut.
View this post on Instagram
Dalam pada itu, ramai yang mendakwa turut mengalami situasi yang sama, menjadi mangsa buli di masjid berkenaan.
Sumber: Instagram