Seorang juurusolek lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayeh Keroh atas pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelakon lelaki di dalam salun miliknya, minggu lalu.
Tertuduh, Saril Sarip, 42 bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Haderiah Siri.
Artikel berkaitan : “Mula-mula ur*t paha…” – Pelakon Remaja Jadi Mangsa Amang Seksu*l Jurusolek Lelaki
Artikel berkaitan : Jurusolek & Designer Nak Taja 5 Pasangan Bakal Pengantin Frontliner Make Up & Baju Nikah Free
Menerusi kertas pertuduhan, Saril didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii kepada mangsa yang berusia 18 tahun tanpa kerelaan dengan meletakkan ketakutan kepada mangsa.
Perbuatan tersebut dilakukan kira-kira jam 4.15 petang di sebuah premis bernombor di Taman Tasik Utama dalam daerah Melaka Tengah pada 17 Januari 2025.
Berdasarkan Seksyen 377C Kanun Keseksaan, perbuatan ini memperuntukkan hukuman penjara antara 5 hingga 20 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat bahawa tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi.
Selain itu, tertuduh juga harus melaporkan diri setiap bulan di Balai Polis Durian Tunggal hingga kes selesai.
Namun begitu, peguam bela tertuduh, L Sharveen merayu agar jaminan dikurangkan kerana anak guamnya masih bujang serta hanya memperoleh pendapatan sekitar RM 2,000 hingga RM2,500 sebulan.
Bahkan, tertuduh perlu menyara ibunya yang berusia 78 tahun yang menghidap darah tinggi dan masalah usus, serta menjaga kakaknya yang tidak bekerja.
Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, Hakim Haderiah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM 5,000 dengan seorang penjamin bersertakan syarat tambahan seperti yang dipohon oleh pihak pendakwaan.
Sumber: Kosmo!, mStar Online