Baru-baru ini tular mengenai sebuah kes seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai didera ibu kandung dan rakan tomboy, yang berlaku di Pasir Gudang, Johor.
Kanak-kanak itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas berjaya diselamatkan jiran tetangga dan dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit kelihatan ceria apabila dapat bertemu bapa, datuk dan bapa saudara yang datang dari Kedah menziarahinya di Hospital Sultan Ismail.
Perkembangan itu dikongsikan oleh bapa kandung kanak-kanak itu menerusi beberapa video yang dimuat naik di TikTok.
“Alhamdulillah, jumpa balik harta dunia akhirat aku. Anak yang tak pernah aku naik tangan kat depa. Selama ni aku diam ja,” tulisnya.
Setahun cari anak
Lelaki yang dikenali sebagai Amirul Haizad memaklumkan bahawa sudah lama dia mencari anak kandungnya yang dibawa lari bekas isteri sejak 5 Semptember 2022.
“Bukan baru muncul. Anak yang saya cari selama setahun lebih, bekas isteri saya bawa lari depa dari saya. Dah block saya, dia bawa lari 5 September 2022,” katanya.
Dia juga mengatakan tidak tergamak melakukan perbuatan yang dilakukan oleh bekas isteri dan rakannya terhadap anaknya itu.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin Nisa Ismail berkata kanak-kanak itu akan diserahkan kepada waris selepas sembuh dan dibenarkan pulang, lapor The Star.
Sementara itu, ibu kanak-kanak terbabit ditahan reman selama enam hari sehingga Khamis (17 Ogos) dan rakannya sehingga Jumaat (18 Ogos).
Baca: Kes Dera Budak 7 Tahun: ‘Tomboy’ Dakwa Mangsa Degil, Kerap Marah Sebab Mahu Mengajar