Mungkin ramai yang tak tahu, tapi 30 tahun lepas satu kejadian yang dianggap sebagai salah satu insiden sukan yang paling terkenal telah berlaku.
Insiden tersebut melibatkan atlet sukan luncur ais berbunga, Nancy Kerrigan yang telah diserang ketika dia sedang bersiap sedia untuk bersaing di Olimpik Musim Sejuk 1994 di Lillehammer, Norway pada 6 Januari 1994.
Seorang lelaki tak dikenali telah menyerang Nancy bagi menghalangnya untuk bertanding di Kejohanan Luncur Ais Berbunga AS.
Satu video menunjukkan Nancy Kerrigan menangis kesakitan selepas diserang telah menjadi tajuk utama media di seluruh dunia pada ketika itu. Pihak polis kemudiannya berjaya menemui penyerang tersebut yang kemudiannya dikenali sebagi Shane Stant yang telah diupah oleh Jeff Gillooly, bekas suami kepada pesaing Nancy, Tonya Harding.
Kalau korang nak tahu kisah disebalik insiden ini dan macam mana Jeff Gillooly boleh bertindak sedemikian untuk bekas isterinya dan adakah bekas isterinya Tonya Harding tahu tentang perancangannya itu, baca dekat bawah ni!
Artikel berkaitan: Jolly Joseph: Kisah Benar Disebalik Dokumentari Netflix ‘Curry & Cyanide’
Artikel berkaitan: Sid dan Nancy: Kisah Cinta ‘Punk Rock’ Paling Tragik Dalam Sejarah Muzik
Hubungan Jeff Gillooly dan Tonya Harding
Jeff Gillooly pertama kali bertemu Tonya Harding ketika wanita tersebut baru berusia 15 tahun. Jeff yang berusia tiga tahun lebih tua darinya telah menjadi tempat Tonya mengadu ketika dia menghadapi masalah keluarga.
Menurut Tonya dalam satu temubual, abang seibunya telah pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan cuba untuk mencabulnya pada malam sama pertama dia keluar bersama dengan Jeff.
Ibunya pula ketika dapat tahu mengenai insiden tersebut mengatakan yang dia tak pelik sekiranya anak lelakinya itu cuba untuk mencium Tonya namun pada masa yang sama, dia mendakwa anak perempuannya ini juga suka mereka cerita. Tonya turut dilempang dan dituduh menipu.
Dipendekkan cerita, kehidupan Tonya di rumah memang banyak konflik. Ketika dia berusia 18 tahun, ibunya yang ketika itu bersama suami keenamnya telah menghalaunya dari rumah dan Tonya yang bersama dengan Jeff selama tiga tahun telah tinggal bersama.
Setahun kemudian pada 1990, Tonya dan Jeff telah mengikat tali perkahwinan kerana wanita ini mahu dilindungi di bawah plan insurans kesihatan suaminya.
Ibu Tonya mengatakan yang dia pernah menghalang perkahwinan tersebut kerana mengetahui sikap panas baran Jeff. Menurutnya, Jeff pernah cuba untuk pecahkan pintu rumah ketika Tonya masih tinggal bersamanya kerana ingatkan kekasihnya itu telah keluar dengan lelaki lain.
Namun begitu, perkahwinan Jeff dan Tonya juga tak bahagia, pada Jun 1991, Jeff telah failkan penceraian dengan alasan mempunyai berbezaan yang tak boleh diselesaikan. Selain itu, Tonya turut failkan perintah larangan untuk menghalang Jeff dari memasuki rumahnya atau mana-mana gelanggang luncur dengan mengatakan:
Dia telah memulas tangan dan pergelangan saya dan menarik rambut dan menolak saya. Saya juga baru dapat tahu yang dia telah membeli senapang patah. Saya takutkan keselamatan saya.”
Tonya dilaporkan lebih bahagia selepas berpisah dan sempat berjumpa dengan seorang lelaki lain dan bertunang. Tapi selepas itu, dia telah membuat pengumuman mengejutkan mengatakan yang dia akan kembali bersama dengan Jeff.
Saya tahu saya nampak bahagia, tapi saya dapat rasa ada sesuatu yang hilang, sekarang saya tahu apa dia. Jeff dan saya cintakan satu sama lain lebih dari sebelum ini dan kami akan dapatkan kaunselor dan cuba untuk menjayakan hubungan ini. Saya tahu dia dah berubah. Saya boleh lihat dalam matanya dan saya percayakan dia.”
Pun begitu, Tonya dan Jeff telah bercerai secara rasmi pada 1993 tapi pada awal tahun 1994, mereka telah cuba untuk bersama semula.
Rancangan Jeff Gillooly menyerang Nancy Kerrigan
Ketika Januari 1994, Tonya Harding telah pun menaikkan namanya sebagai atlet profesional luncur ais berbunga. Malah dia dan rakan atlet, Nancy Kerrigen telah bersaing untuk menempatkan diri di Olimpik Musim Sejuk 1994 di Norway.
Selain kemahsyuran, pemenang luncur ais Olimpik juga berpeluang untuk memperolehi pendapatan lebih dari US$1 juta menjadi duta produk dan yuran untuk membuat penampilan selepas menang. Duit ini mampu buatkan ramai orang mahukannya.
Disebabkan ini, Jeff dikatakan telah mula membuat perancangan sejak Disember 1993 untuk mengeluarkan Nancy Kerrigan dari pertandingan tersebut bagi memudahkan urusan bekas isterinya untuk bertanding di Olimpik 1994.
Beberapa perkara telah dirancang untuk menyekat Nancy termasuk merancang untuk kemalangan kereta bagi mencacatkannya atau mengupah penempak tepat untuk membunuhnya. Akhirnya, kumpulan yang disertai oleh Jeff, Shane Stant, Derrick Smith dan pengawal peribadi Tonya, Shawn Eckardt membuat keputusan untuk mencederakan lutut Nancy menggunakan batang besi.
Mereka kemudiannya bersetuju supaya Shane akan melakukan perbuatan tersebut manakala Derrick akan bersedia sebagai pemandu untuk lari selepas misi mereka berjaya dijalankan.
Pada 6 Januari, Shane telah memulakan rancangan mereka dengan menunggu Nancy Kerrigan habiskan latihan rutinnya untuk pertandingan tersebut yang akan dijalankan beberapa hari lagi.
Macam dalam video dekat bawah ni, korang boleh tengok yang kamera telah merakam Nancy keluar dari gelangang selepas latihannya dan sejurus selepas kamera berhenti merakam, Shane telah keluar dan menyerang Nancy dengan baton sebelum melarikan diri.
Kerana panik, Shane telah tersalah sasaran dan memukul bahagian bawah lutut. Namun begitu, ia telah menyebabkan kaki Nancy lebam teruk namun tak cukup untuk menghancurkan kerjayanya sebagai atlet luncur air berbunga seperti yang dirancang.
Kamera kemudiannya menunjukkan rakaman Nancy yang terduduk di atas lantai dan menangis kesakitan sambil menjerit, “Why? Why? Why?”
Serangan ini dibuat supaya Nancy terpaksa mengundurkan diri dari menyertai kejohanan di AS dan Olimpik Musim Sejuk. Kecederaan yang dialaminya telah menghalang atlet ini dari bertanding untuk kejohanan AS namun sempat sembuh untuk bertanding di Olimpik bersama Tonya.
Nancy telah berjaya membawa pulang pingat perak di Olimpik 1994 manakala Tonya gagal menang apa-apa pingat.
Ketika itu, siasatan ke atas insiden ini telah pun dijalankan dan rancangan mereka mula terbongkar.
Tonya Harding tahu atau tak tentang rancangan ni?
Apabila pihak polis mula menyiasat serangan tersebut, mereka telah mengetahui peranan yang dijalankan oleh Jeff, Shane, Derrick dan Shawn. Namun persoalan terbesar, sejauh mana penglibatan Tonya Harding?
Pada awalnya, Tonya mendakwa yang dia tak tahu apa-apa mengenai rancangan untuk mencederakan Nancy. Malah dia turut mendakwa Jeff dan “dua lelaki lain” telah merogolnya dan mengacukan pistol serta mengugutnya kalau dia cakap apa-apa mengenai rancangan mereka.
Tapi, ketika di mahkamah, tiga dari empat lelaki tersebut kecuali Jeff, bersetuju untuk tawaran rayuan bagi mendapatkan hukuman yang lebih ringan. Jeff dan Shawn mengatakan bahawa Tonya tahu tentang rancangan tersebut sebelum ia dijalankan.
Shawn mendakwa Tonya menyuruhnya untuk pastikan rancangan tersebut berjalan lancar dan Jeff turut menawarkan wang sebanyak US$10,000.
Dua bulan kemudian, Tonya telah mengaku bersalah dengan mengambil tawaran rayuan bagi mengelak dari dihukum penjara. Disebabkan ini, Tonya turut diarahkan untuk berhenti dari menyertai pertandingan kejohanan di Jepun dan menarik diri dari menjadi ahli Persatuan Luncur Ais Berbungan AS.
Jeff telah menerima hukuman yang paling berat iaitu penjara dua tahun dan rayuan untuk ringankan hukuman kerana bekerjasama telah ditolak oleh hakim.
Selepas keluar dari penjara, Jeff telah menukar nama keluarganya kepada Stone, mencukur misainya dan dilihat mahu berubah. Dalam temubual juga, Jeff telah meluahkan rasa kesalnya kerana telah meyakinkan Tonya untuk bersetuju dengan rancangannya itu sehingga mencemarkan nama baiknya.
Sumber: ati