Sejak kes Covid-19 di Malaysia semakin meningkat, hospital di Lembah Klang kini bergelut untuk bertahan selepas kesemua hospital hampir mencecah kapasiti penuh. Ini termasuk hospital swasta dan hospital utama Covid-19, Hospital Sungai Buloh.
CodeBlue melaporkan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengesahkan yang katil di Hospital Sungai Buloh kini telah 90% dipenuhi.
Manakala unit komunikasi korporat KKM mengatakan, hospital kini hanya menerima pesakit yang berada pada Tahap Empat dan Lima atau kes Covid-19 yang kompleks.
Manakala hospital swasta di Lembah Klang serta Johor juga dah kekurangan ruang untuk menerima pesakit Covid-19.
Tahap-tahap tersebut merupakan tahap yang kronik di mana pesakit Tahap Empat akan mengalami radang paru-paru dan memerlukan bekalan oksigen manakala pesakit Tahap Lima pula adalah pesakit yang kritikal dengan kesukaran bernafas serta memerlukan alat bantuan pernafasan.
Tak cukup dengan itu, wad dan unit penjagaan rapi (ICU) di Hospital Umum Sarawak kini penuh. Seorang pegawai kesihatan dari sana memberitahu yang beberapa pesakit Covid-19 di wad yang bergantung kepada terapi oksigen kini sedang menunggu kekosongan katil di ICU.
ICU Hospital Sibu juga turut berada pada kapisiti penuh dan hospital terpaksa menurunkan pesakit Covid-19 yang kritikal dari ICU selepas 28 hari apabila mereka tak lagi berisiko untuk menjangkiti.
Ekoran ini, Datuk Dr Kuljit dari Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia menjelaskan, peningkatan kes sejak 14 hari lepas telah menyebabkan ramai pesakit Covid-19 memenuhi katil-katil di dalam wad.
Menurutnya, ketakutan terbesar sekarang adalah kemungkinan sistem kesihatan akan runtuh ekoran tak cukup katil dan rawatan oksigen.
Kami berharap rakyat memandang serius masalah kekurangan katil di hospital dan lebih bertanggungjawab bagi memastikan penyebaran Covid-19 boleh dibendung dan patuh kepada SOP.”
Baca: [TERKINI] 3,332 Kes Positif Baru, 1,943 Kes Sembuh & 15 Kematian Dilaporkan Hari Ini