Pada tahun 2021, satu berita menggemparkan berlaku apabila seorang isteri yang sedang hamil didakwa dipukul oleh suaminya dengan begitu teruk sehingga menyebabkan wanita itu koma.
Terbaru, Jahidah Nordin yang kini berusia 46 tahun itu difahamkan masih terlantar di atas katil dan anaknya yang dilahirkan ketika dia masih dalam keadaan koma itu sudah mencecah umur 3 tahun namun disahkan berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU).
Artikel berkaitan: Tular Belasah Bekas Isteri Sampai Koma & Lumpuh Ketika Hamil, Peniaga Diarah Bela Diri
Artikel berkaitan: Mahkamah Syariah Akhirnya Luluskan Tuntutan Fasakh Wanita Koma Akibat Dipukul Suami
Menurut Astro AWANI, perkembangan itu dimaklumkan oleh adik Jahidah iaitu Fauziah ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Fauziah memberitahu, anak buahnya Eshan Nufail kini sudah berusia 3 tahun namun masih tidak mampu berjalan dan bertutur seperti kanak-kanak normal lain sebayanya.
“Keadaan kakak (Jahidah) masih sama, hanya terbaring atas katil, diberikan susu menerusi tiub dan perlu diuruskan keluarga sepenuhnya.
Sementara Eshan Nufail, disahkan sebagai OKU kerana pertumbuhan yang perlahan termasuk masih tidak boleh bercakap serta berjalan selain memiliki berat hanya 9.5 kilogram.
Eshan juga perlu menjalani rawatan fisioterapi dan amat memerlukan perhatian rapi dari kami sekeluarga,” kongsinya.
Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Ahad lalu menangguhkan keputusan kes peniaga yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin@Sylvester sehingga koma tiga tahun lalu ke tarikh 9 Disember depan, selepas tertuduh tidak hadir ke mahkamah.
Difahamkan, Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan itu selepas peguam tertuduh, Mohd Salleh Togimin, memaklumkan anak guamnya, Rosmaini Abd Raof dimasukkan ke Hospital Pendang, akibat sesak nafas.
Sumber: Astro AWANI