Jika diperhatikan, terlalu banyak kandungan mengenai seseorang artis yang menggunakan nama dalam satu profil media sosial sehingga membuatkan ramai keliru jika akaun tersebut sahih atau tidak.
Cakna dengan kaedah tersebut, bekas pelakon, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad hari ini menegaskan bahawa dia hanya mempunyai satu akaun Instagram yang aktif.
Artikel berkaitan : Zizie Izette Akui Bagai Hilang Arah Selepas Pemergian Suami Tercinta
Artikel berkaitan : Zizie Izette Tak Mampu Tahan Sebak Ketika Tatap Suami Buat Kali Terakhir
Tak pernah ada TikTok dan FB tak aktif
Menerusi IG Story miliknya, Zizie menyatakan akaun tersebut merupakan satu-satunya media sosial miliknya yang sahih dan tidak mempunyai platform akaun media sosial yang lain.
“Sekadar pencerahan, ini adalah satu-satunya akaun (media sosial) saya yang aktif. Saya tak ada TikTok dan Facebook saya tidak aktif.”
“Jadi, sekiranya anda melihat hantaran atau video memaparkan saya dan arwah suami di mana-mana, itu bukanlah kandungan yang dimuat naik oleh saya.”
Balu kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin bagaimanapun mengucapkan terima kasih buat mereka yang membuat akaun palsu itu yang mungkin ada niat baik terhadap dirinya.
“Saya tahu, mungkin ada dalam kalangan anda ada maksud yang baik dan saya sangat hargai kasih sayang serta doa anda.”
“Tapi, saya perlu jelaskan bahawa akaun-akaun itu bukanlah milik saya. Terima kasih.”

Sebelum ini, wujud beberapa akaun TikTok yang membuat hantaran memaparkan kandungan berkaitan dengan Zizie dan arwah suaminya itu.
Sekadar rekod, Zizie dan Allahyarham Bung Moktar mendirikan rumah tangga pada 2009 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata.
Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat lalu.
Allahyarham telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, jam 2.10 petang, hari yang sama.
Sumber : Instagram / Harian Metro
