Hujung minggu lepas, tular sebuah video di mana seorang staf hospital KPJ Klang dikatakan telah bertindak memijak dan merosakkan kolam yang dibuat di lantai premis tersebut sempena perayaan Hari Deepavali baru-baru ini.
Susulan penularan video tersebut, Ketua Balai Polis Bandar Baru Klang memberitahu suspek akan dipanggil ke IPD Klang Utara hari ini.
Terbaru, pihak KPJ Healthcare telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf khususnya kepada kaum India yang terkesan dengan tindakan individu terbabit.
“Sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, KPJ Healthcare sentiasa menyantuni dan menghormati kepelbagaian budaya di Malaysia.
Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa KPJ Healthcare tidak membenarkan tindakan sedemikian dan sama sekali tidak mencerminkan budaya, nilai atau amalan kami.” tulisnya.
Selain itu, pihak KPJ juga menyatakan rasa kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu tersebut dan pihak terbabit telah digantung kerja sementara menunggu siasatan lanjut.
KPJ Healthcare juga telah membuat laporan polis mengenai insiden itu dan pihak mereka akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berkaitan perkara ini.
Baca: Tular Pijak ‘Kolam’ Deepavali, Kakitangan KPJ Berdepan Hukuman Penjara – Polis