Kerajaan Kelantan berkata mereka memerlukan peruntukan RM8 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor, permohonan telah pun dibuat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk penyelesaian jangka masa pendek dan panjang masalah bekalan air.
Jelasnya, kerajaan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM630 juta untuk pembinaan takungan air pinggiran sungai (TAPS) di Machang untuk jangka pendek menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Kita cuma nak buat tangki dan juga loji di kawasan itu dengan nilai lebih RM1.56 juta. Keduanya, kita akan baiki paip sepanjang lebih 3,500 kilometer (km).
“Kita buat permohonan sebanyak RM1.7 bilion untuk projek ini bagi menyelesaikan masalah air di Kota Bharu Utara. Untuk Kota Bharu Selatan pula, kita akan ambil air dari Empangan Nenggiri dan akan berbincang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebab kita nak guna ‘tenaga’ untuk ambil air itu,” katanya kepada sumber.
Difahamkan, kerajaan negeri juga mahu membina loji bagi menyelesaikan masalah air di Kota Bharu Selatan yang dijangka memakan kos sebanyak RM4 bilion bagi penyelesaian jangka masa pendek. Bagi jangka masa panjang pula, kerajaan Kelantan akan bina lima lagi loji air iaitu di Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh.
“Perdana Menteri minta kita buat kajian semula dan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk bincang. Begitu juga Kerajaan Persekutuan yang turut akan menubuhkan jawatankuasa sendiri.
“Kita akan bincang bagaimana dan keutamaan (projek) untuk menyelesaikan masalah air. Perdana Menteri tidak menolak permohonan kita, namun beliau mahu beri kepada keutamaan dahulu (selesai masalah air),” jelasnya.
Beliau juga meminta rakyat Kelantan untuk bersabar dengan masalah air yang sedang diselesaikan ini.
Kredit: Harian Metro
BACA: Pemandangan Cantik Tapi Penuh Sampah, Pantai Kelantan Dikritik Kerana Seperti ‘Tongkang Pecah’