in

Inkues Zara Qairina: Ada Tulisan Tangan Dalam Buku Dipercayai Bukan Ditulis Arwah

ft zara qairina tulisan tangan

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh menerangkan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah bahawa hasil pemeriksaan pada sebuah buku mendapati ada sebahagian tulisan tangan yang dikemukakan itu dipercayai bukan ditulis oleh Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Nurul Atiqah yang juga merupakan saksi kedua dalam prosiding ini berkata, pemeriksaan yang dibuat terhadap barang kes yang ditanda melibatkan helaian kertas serta buku tulisan tangan sebelum membuat perbandingan.


Artikel berkaitan : “Milik Zara atau bukan” – 21 Dokumen Bertulisan Tangan Diserah Kepada Jabatan Kimia

Artikel berkaitan : Pakar Patologi Inkues Zara Qairina Buat Laporan Polis Lepas Terima Ugutan Di Media Sosial

“Setelah perbandingan dilakukan, saya mendapati tulisan tangan yang dipertikaikan pada helaian ‘Y1’ hingga ‘Y7’ dan ‘Y9’ hingga ‘Y15’ menunjukkan persamaan yang signifikan dengan contoh tulisan tangan ‘SA’. Oleh itu, saya berpendapat ia ditulis oleh penulis contoh.”

Selain itu, beliau juga menjelaskan penemuan sama diperoleh pada helaian buku yang bertanda ‘Y8’ dan dua lagi helaian ‘W1’ dan ‘W2’, didapati sepadan dengan tulisan tangan contoh.

Bagaimanapun, penilaian lanjut pada buku tulisan tangan yang bertanda ‘W3’ ada menunjukkan hasil tulisan Zara Qairina dan individu lain.

“Bagi muka surat 3 hingga 6, 15 hingga 24, 38 hingga 45, 47 hingga 57, 65 hingga 72 dan 90 hingga 103, tulisan tangan dipertikaikan itu juga menunjukkan persamaan signifikan dengan penulis contoh.”

“Namun, bagi muka surat 2, 7 hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89, ia menunjukkan perbezaan signifikan yang mencukupi. Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan pada bahagian tersebut tidak ditulis oleh penulis contoh.”

Disebabkan itu, beliau berkata, semua ekshibit dimasukkan semula ke dalam beg barang kes asal dan dimeterai kembali dengan label keselamatan Jabatan Kimia Malaysia setelah selesai dianalisis.

Nurul Atiqah, 44 kini berkhidmat di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, setakat ini beliau telah menganalisis kira-kira 670 kes pemeriksaan dokumen dan daripada jumlah itu, kira-kira 120 kes adalah tulisan tangan.

Sumber : Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.