Terlalu banyak jasa dan bakti yang dicurahkan oleh perwira-perwira anggota tentera bagi menjamin keselamatan negara.
Berita sedih menyelubungi rakyat Malaysia sejak semalam apabila seorang anggota komando tentera darat yang dilaporkan hilang sejak 7 Februari lalu akhirnya ditemui.
Mayat Lans Koperal Edrin Baintim yang lemas di perairan Pulau Undan, Melaka ditemukan hanyut sehingga ke Tanjung Sepat, Banting, Selangor.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit menyatakan, mayat memakai pakaian menyelam itu dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat.
“Maklumat awal mendapati mayat mangsa dijumpai di pantai hutan bakau di Tanjung Sepat. Namun kami masih menunggu laporan penuh kejadian.
Setakat ini polis positif ia adalah mayat komando yang dilaporkan lemas memandangkan baju menyelam dipakai mangsa. Perkara itu turut dinyatakan pihak tentera,” katanya.
Difahamkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Edrin sebelum ini ditangguhkan selepas hampir seminggu dijalankan tanpa sebarang petunjuk.
Mangsa dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Undan pada 7 Februari lalu sebelum operasi besar-besaran mencarinya dilakukan.
Salam takziah kepada semua keluarganya…
Baca: Budak 2 Tahun Jadi Korban Pertama Banjir Terengganu, Lemas Terjatuh Di Halaman Rumah