Misteri kehilangan seorang lelaki di China pada 24 Mac lalu terjawab selepas rakaman litar tertutup (CCTV) di tempat kerjanya mendedahkan dia telah mengambil nyawanya sendiri dengan terjun ke dalam sebuah tangki berisi besi cair panas.
Lapor Vice, lelaki yang dikenali sebagai Wang Long, 33, sudah bekerja dengan syarikat memproses bahan keluli itu semenjak lebih satu dekad. Dia dilaporkan hilang pada 24 Mac semasa sedang melakukan shift malam.

Menerusi rakaman CCTV yang tular di media sosial China, Wang dikatakan telah membuang helmet dan gloves yang dipakainya ke dalam tangki berisi besi cair panas sebelum dia juga terjun ke dalam tangki sama.

Untuk info, suhu di dalam tangki itu dikatakan mampu mencecah lebih daripada 1,500 darjah celcius.
Menurut rakan sekerja Wang, lelaki itu adalah seorang introvert dan tidak pernah berkahwin. Selain itu, dia juga dikatakan aktif bermain saham.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan syarikat tempat Wang bekerja, mereka mengesyaki punca Wang membunuh diri adalah kerana dia kerugian banyak wang akibat pelaburannya dan tidak mampu untuk membayar hutang.

Sementara itu, pada hari di mana Wang mengambil nyawanya sendiri, indeks saham China jatuh ke titik terendah dalam masa tiga bulan.
Selain itu, Bloomberg juga melaporkan ramai pelabur runcit China pergi ke pasar barangan terpakai pada bulan Mac untuk menjual pelbagai barangan seperti jam tangan, cincin pertunangan dan konsol alat permainan video Nintendo Switch untuk menutup kerugian akibat penurunan saham pada 24 Mac.
Sumber: Vice, The Vocket

