Kebelakangan ini, kecoh berita mengenai penangkapan sekumpulan individu ‘famous’ yang didakwa telah terlibat dalam Macau Scam.
Sindiket-sindiket ini dikatakan telah menggunakan pelbagai teknik ‘cuci’ wang dengan tujuan untuk mengaburi mata pihak berkuasa konon-kononnya wang haram itu boleh bertukar menjadi wang yang datang dari sumber yang halal.
Haram tetap haram ye.
Baru-baru ini, seorang pakar telah berkongsi teknik-teknik pencucian wang haram ini yang telah dilakukan oleh kaki-kaki scammers ini.
Lapor Harian Metro, Penganalisis Jenayah, Datuk Seri Akhbar Satar mendedahkan bahawa pengubahan wang haram adalah satu proses menukar wang tunai atau harta yang didapati melalui jenayah haram yang dilakukan.
Menurutnya lagi, teknik pencucian ini bertujuan untuk membersih dan menghalalkan wang haram ini untuk mengelak kegiatan jenayah ini diketahui punca asal.
Tiga tahap ‘cuci’ wang haram
Datuk Seri Akhbar mendedahkan terdapat tiga tahap pencucian wang haram yang dilakukan scammers untuk mengelak dari dikesan pihak berkuasa.
Tahap pertama dikenali sebagai penempatan. Disebabkan pengubahan wang haram ini membabitkan perniagaan yang besar, wang ini akan dilabur menerusi sistem kewangan yang sah. Ini adalah pergerakan tunai daripada sumbernya.
Penjenayah akan masuk wang tunai ke dalam jumlah yang kecil untuk didepositkan ke dalam akaun bank atau ditukar dalam bentuk cek kembara atau wang pos, menyeludup mata wang dan sebagainya ke beberapa bank serta lokasi yang berlainan
Pengubahan wang haram ini sering menggunakan rangkaian yang luas. Antaranya dengan menggunakan beberapa nama dan akaun berbeza untuk melaksanakan urus niaga.
Tujuannya adalah untuk mengaburi dari dikesan pihak berkuasa atau audit trail.
Tahap kedua dikenali sebagai pelapisan. Menerusi tahap ini, penjenayah akan mengeluarkan wang simpanan mereka secara berulang kali melalui pelbagai bank yang berbeza termasuk off shore bank di negara berbeza menggunakan syarikat palsu tanpa aset atau operasi.
Syarikat ini hanya membuat transaksi palsu seolah-olah perniagaan biasa untuk membenarkan aliran masuk tunai dan dana yang diterima boleh dikitar menerusi beberapa syarikat sebagai wang halal.
Tujuannya adalah untuk menjauhkan wang haram tersebut daripada sumber asalnya.
Tahap terakhir pula adalah integrasi. Wang haram seterusnya akan diserap ke dalam sistem kewangan dan ekonomi yang sah.
Agak sukar untuk membezakan antara hasil kekayaan sah dan haram pada peringkat ini.
Wang dianggap bersih dan boleh digunakan untuk apa tujuan
Penjenayah akan membuat pembelian aset bernilai tinggi seperti berlian, rumah dan hotel mewah di luar negara.
Amboi berbelanja sakan nampak dengan harta orang lain?
Melaburkan wang kepada golongan artis
Tambah Datuk Seri Akhbar, satu lagi cara scammers ini menghalalkan duit haram adalah dengan menubuhkan pelbagai perniagaan dan syarikat untuk mencampurkan wang yang haram dengan pendapatan sah.
Ini termasuklah melabur wang tersebut kepada golongan artis.
Menggunakan sistem Hawala
Seorang lagi Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim telah mendedahkan sistem Hawala yang turut digunakan oleh penjenayah dalam kegiatan ‘cuci’ wang.
Hawala merupakan sistem penghantaran wang melalui kaedah ‘bawah tanah’ iaitu tanpa menggunakan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi.
Status transaksi pemindahan wang tidak meninggalkan sebarang rekod atau dokumentasi.
Wang terbabit tidak pernah keluar dari negara masing-masing. Hanya berpindah tangan dalam negara terbabit
Nak kaya punya pasal, sanggup buat apa sahaja. Sekali kena cekup, hotel tirai besi memanggil.
Baca: Kes Cuci Duit Haram:Datuk Seri Panjat Pagar Bangunan SPRM Larikan Diri, Kini Diburu