Tular baru-baru ini selepas bekas Menteri Informasi Afghanistan, Syed Ahmad Shah Saadat dilihat menjadi pekerja penghantar makanan di Jerman. Menurut laporan, beliau kini mendapat perlindungan suaka di Leipzig dan meneruskan kehidupan serta menyara hidupnya dengan bekerja sebagai penghantar piza.
Kelibatnya ketika menaiki basikal di sekitar bandar itu dan menghantar pesanan pizza dari pintu ke pintu berjaya dirakam dan beberapa keping foto berkenaan telah dikongsikan media tempatan serta Al Jazeera.
Berdasarkan gambar yang kini tular itu, bekas menteri berusia 49 tahun itu dilihat sedang dalam perjalanan untuk menghantar pesanan piza kepada pelanggannya di Leipzig.
Difahamkan, beliau sudah meninggalkan Afghanistan sejak setahun lepas kerana bimbang dengan agenda Taliban. Kini, Syed Ahmad terpaksa melakukan pekerjaan baru untuk meneruskan kehidupan sehariannya di sana.
Kisahnya turut dimuat naik di Twitter oleh seorang wartawan Jerman yang mendakwa telah ternampak bekas menteri terbabit lalu menegurnya.
Beberapa hari lalu, saya menemui lelaki yang mengakui dirinya adalah Menteri Informasi Afghanistan, dua tahun lalu. Saya bertanya kepada beliau, apa yang dibuatnya di Leipzig.”
Beliau memberitahu bahawa sedang menghantar pesanan melalui perkhidmatan penghantar makanan Lieferando.”
Syed Ahmad dilaporkan telah mengesahkan bahawa individu yang tular itu adalah dirinya kepada Sky News Arabia. Menurut India Today, ada sesetengah pihak di Afghanistan yang mengkritiknya kerana bekerja sebagai penghantar makanan selepas berkhidmat untuk kerajaan selama dua tahun namun beliau tidak mempedulikan mereka.
Beliau dikatakan mengundurkan diri sebagai menteri dan berhenti berkhidmat kerana terdapat percanggahan pendapat dan tidak bersependapat dengan beberapa ahli politik yang lain.
Saya tidak perlu rasa bersalah. Saya harap ahli politik yang lain lakukan perkara yang sama, berkhidmat untuk orang ramai dan bukannya bersembunyi.”