Mengemas rumah, basuh baju, lipat kain, memasak dan menjaga kebersihan di kediaman merupakan beberapa perkara asas yang perlu dititikberatkan oleh semua orang tidak kiralah yang hidup berkeluarga atau sendirian. Namun, seorang lelaki ini dikatakan telah mengabaikan kebersihan diri dan rumah selepas ditinggalkan isteri dan anak lelakinya.
Menurut Harian Metro, A Raju yang berasal dari Kluang ini tidak pernah membasuh pakaiannya sejak 5 tahun lalu! Hidup sebatang kara, Raju akui tidak pernah membasuh pakaiannya selepas ditinggalkan keluarga dan hanya dibiarkan berselerak kerana selama ini isteri yang membersihkannya.
“Saya tidak tahu hendak buat macam mana dengan pakaian berkenaan sebab itu saya biarkan saja, makan tengah hari dan malam pula saya dapatkan dari kedai berhampiran selain ihsan orang ramai yang bersimpati.”
Dengan keadaan rumah yang dibiarkan berselerak dipenuhi sampah sarap di setiap genap ruang tamu rumah dan pakaian bertaburan di atas lantai, lelaki ini dikatakan mengalami kemurungan dan mempunyai masalah kesihatan selepas ditinggalkan isteri dan anak lelakinya itu.
“Saya tidak larat untuk mengemas rumah sebab saya juga menghidap sakit sendi menyebabkan keadaan rumah terbiar,” kata Raju sewaktu dikunjungi oleh R Vidyananthan, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri Johor.
Raju yang bergantung hidup dengan bantuan RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata bahawa dia berbesar hati jika ada pihak sudi membantu membersihkan rumah kerana pergerakannya begitu terbatas untuk mengemas sendiri dek penyakit yang dialaminya.
Bersimpati dengan nasib lelaki ini, pihak Vidyananthan dikatakan bakal melakukan tindakan susulan bagi membantu Raju dan mengatakan bahawa Ketua MIC Bahagian Kluang, G Raman, dipertanggungjawab menggerakkan sukarelawan untuk melaksanakan tugas pembersihan rumah tersebut.
Menurut Vidyananthan lagi, Raju juga akan dirujuk ke hospital secepatnya untuk rawatan lanjut berkaitan penyakitnya itu.
Semoga kesihatannya semakin baik supaya hidupnya lebih terurus di masa akan datang!
Baca: Lelaki Psiko Tidak Boleh Terima Kenyataan Ditinggalkan, Hentak Kepala Teman Wanita Dengan Bata