Seorang anggota tentera berpangkat sarjan, Wan Ramly Wan Seman yang telah pun berkhidmat untuk negara selama 19 tahun bakal kehilangan pencen yang layak diperolehinya dalam tempoh 16 bulan lagi.
Menurut FMT, tentera dari Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpengkalan di Kem Rasa, Negeri Sembilan ini telah “diberhentikan secara tidak terhormat” kerana dia enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Wan Ramly telah mendapat arahan pemberhentian perkhidmatan oleh Kementerian Pertahanan berkuat kuasa 26 Ogos ini dan sepatutnya dia menerima tarikh penamatan perkhidmatan pada Januari 2023 sebelum melaporkan diri untuk latihan penempatan semula pada Mac tahun hadapan.
“Saya berhak menolak vaksin”
Menurut bapa kepada tiga anak ini, dia hanya menggunakan haknya sebagai rakyat Malaysia untuk menolak vaksinasi.
Saya amat kecewa kerana selepas hampir 20 tahun berkhidmat kepada negara tanpa sebarang rekod disiplin, saya dipecat secara tidak terhormat. Saya masih percaya bahawa saya berhak menolak vaksin kerana kerajaan tidak mewajibkannya.”
Katanya, dia telah pun menolak vaksin sejak 7 Julai lalu dan sepanjang tempoh tersebut dia telah menjalani beberapa sesi pertemuan dengan pihak atasan yang cuba yakinkannya.
Pada 10 Julai, saya didakwa di bawah empat seksyen Akta Angkatan Tentera 1972. Ini termasuk tidak mematuhi arahan untuk diberi vaksin yang wajib bagi semua anggota tentera dan hanya dengan mengatakan, ‘saya betul-betul tidak setuju untuk divaksin'”.
Permintaan untuk dibicarakan ditolak
Wan Ramly telah cuba untuk membawa kes ini ke Mahkamah Tentera untuk dibicarakan namun permintaannya telah ditolak oleh Pegawai Memerintah.
Menurut siaran akhbar dari Sel Perhubungan Raya, Tentera Darat Malaysia, sebagai anggota Tentera Darat Malaysia pengambilan vaksin adalah diwajibkan. Enggan menerima vaksin boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah.
Untuk pengetahuan korang, tindakan Kementerian Pertahanan memberhentikan Wan Ramly ini adalah di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Jadi, keputusan ini agak sukar untuk dicabar kerana pemberhentian perkhidmatan anggota tentera adalah kuasa mutlak YDPA.
“Memandangkan pertaulihan anggota tentera adalah atas perkenan YDPA, maka ia boleh dilucutkan pada bila-bila masa oleh YDPA”, – Mahkamah Persekutuan dalam kes Abdul Salam v Majlis Angkatan Tentera [2011] 2 MLJ 573.
Manakala Presiden Persatuan Patriot Nasional (PATRIOT), Mohamed Arshad Raji berkata, beliau telah pun diberitahu mengenai kes ini dan akan berusaha untuk membantu.
Memberhentikannya beberapa bulan sebelum dia layak untuk pencen itu bukan sahaja tidak berperikemanusiaan tetapi agak kejam kerana beliau adalah bapa kepada tiga anak. Ada cara lebih baik untuk menangani seorang askar yang telah menyumbangkan perkhidmatan terbaik ketika masa mudanya kepada negara.”