Ketika semua murid sedang sibuk menduduki peperiksaan UPSR, seorang calon tidak bernasib baik kerana tidak dapat hadir ke peperiksaan UPSR disebabkan pakaian seragam sekolahnya basah.
Namun nasib pelajar itu telah diselamatkan oleh dua guru prihatin yang sanggup menjemputnya di rumah untuk memastikan dia dapat menduduki peperiksaan.
Menurut MStar, dua guru yang disifatkan sebagai hero itu merupakan guru penolong kanan (pentadbiran), Mohd Ali Hanafiah, 47 dan guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Khairul Nizam Aseh, 33.
Menurut Guru Besar dari Sekolah Kebangsaan Paya Bungor itu, ketiadaan murid yang dikenali sebagai Noraina, 12 tahun disedari sewaktu perhimpunan sekolah pada jam 7.15 pagi.
“Noraina ada pasangan kembar di sekolah. Adiknya beritahu dia tidak hadir ke sekolah kerana baju sekolahnya basah.”
Tatkala mendengar berita tersebut, kedua-dua guru berkenaan kemudian bergegas ke rumahnya untuk memastikan keadaan pelajar itu.
Menurut Guru Besar sekolah berkenaan, Baharnizam Baharudin, sebenarnya baju sekolah pelajar tersebut basah kerana disidai di luar rumah selepas dicuci dan malam sebelumnya itu hujan lebat.
“Jadi, bukanlah murid berkenaan tak ada baju sekolah, cuma bajunya tak sempat kering. Bagaimanapun, dua guru kami sempat bantu mendapatkan baju ganti untuknya.
“Nawaitu kami adalah memastikan setiap murid berpeluang untuk berusaha mencapai kejayaan dalam hidup. Kami beri sokongan kepada dia.”
Mujur Noraina sempat menukar bajunya dan menduduki peperiksaan UPSR bersama rakan-rakannya yang lain. Yelah kan sayang pula kalau terlepas peperiksaan yang penting sebegini.
Bukan senang nak jumpa guru yang sanggup datang ke rumah dan bawa baju ganti. Kami respek dua guru berkenaan!
Baca: Pelajar Semangat Mahu Beri Hadiah Kepada Guru Sedih Selepas Dapat Tahu Guru Meninggal Dunia