in

Dokumen Kelahiran Pemain Warisan Harimau Malaya, Facundo Garcés Tular

syaz ft 2025 10 31T103142.936

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pada 6 Oktober lalu, FIFA telah mengeluarkan laporan terperinci berhubung siasatan terhadap Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM), yang membawa kepada penggantungan selama setahun terhadap tujuh pemain yang pernah bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia.

Antara mereka termasuk tiga pemain Argentina, dua daripadanya berasal dari kelab di bandar Santa Fe iaitu Facundo Garcés dan Imanol Machuca. Menurut kenyataan rasmi di laman web FIFA, dokumen yang dipalsukan ialah sijil kelahiran datuk dan nenek pemain-pemain yang terlibat.


Artikel berkaitan: Harimau Malaya Berdepan Denda Oleh FIFA, 7 Pemain Kacukan Didakwa Ada Masalah Dokumentasi

Artikel berkaitan: Harimau Malaya Tak Jadi Lawan Iran, Tarik Diri Dari CAFA 2025

Bagi bekas pemain kelab Colón itu, dokumen yang dikemukakan melibatkan sijil kelahiran datuknya. Hasil siasatan FIFA mendapati FAM telah melaporkan bahawa Carlos Rogelio Fernández dilahirkan di Malaysia.

Menurut Capital De Noticias, laporan rasmi FIFA mengesahkan bahawa sijil kelahiran asal telah dipalsukan, dan sebenarnya datuk Garcés tidak lahir di Malaysia. Portal CDN memperoleh secara eksklusif dokumen yang mengesahkan syak wasangka FIFA tersebut.

FAM sebelum ini mendakwa bahawa Carlos Rogelio Fernández dilahirkan pada 29 Mei 1930 di Pulau Pinang, Malaysia, namun, rekod rasmi di Pejabat Pendaftaran Sivil wilayah Santa Fe, yang diminta oleh FIFA, menunjukkan bahawa datuk Garcés bukanlah warganegara Malaysia, tetapi seorang lelaki kelahiran Santa Fe.

Tarikh lahir 29 Mei 1930 memang benar, tetapi tempat lahirnya tidak benar. Menurut dokumen rasmi, Fernández dilahirkan di kawasan Villa María Selva di bandar Santa Fe.

Dalam pada itu, Imanol Machuca juga difahamkan terbabit dalam isu yang sama. FAM kemukakan dokumen yang mendakwa nenek Machuca berasal dari Pulau Pinang, dan Machuca sendiri pernah sebut benda tu dalam satu temu bual.

Namun, menurut laporan FIFA, nenek Machuca sebenarnya lahir di bandar Roldán, wilayah Santa Fe, bukan Malaysia.

Sumber: Capital De Noticias

 

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.