Macam-macam cara dilakukan pihak berkuasa untuk memastikan orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengamalkan kawalan kendiri ketika musim COVID-19 ini.
Sebelum ini, Lobak Merah pernah memuat naik artikel mengenai langkah pihak berkuasa Indonesia mengenakan hukuman duduk berdoa di kubur mangsa COVID-19 bagi mereka yang ingkar perintah kawalan keselamatan.
Kali ini, ada satu lagi hukuman unik yang dilaksanakan pihak berkuasa di bandar Cilegon, wilayah Banten — khusus buat mereka yang degil tidak memakai topeng muka ketika keluar rumah.
Memetik laporan Kosmo, mana-mana individu yang didapati tidak mematuhi arahan mewajibkan pemakaian topeng muka ketika di tempat awam — akan dikenakan denda membaca surah Yasin.
Tidak terhad kepada itu, ada juga segelintir individu yang diarah memanjat pokok dan melaungkan azan di tempat awam jika didapati ingkar garis panduan kesihatan.
Bukan mudah nak buat semua orang patuh arahan. Tapi itu antara inisiatif yang dibuat, demi memastikan orang ramai kekal aware dengan kewajipan memakai face mask dan peraturan lain semasa musim penularan wabak ini.
Selain itu, selepas membaca surah Yasin mereka juga dikehendaki mengisi surat perjanjian untuk pemakaian pelitup muka ketika berada di luar rumah.
Operasi pemantauan pihak berkuasa di bandar itu dijalankan tiga kali sehari, terutamanya di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.
Baca: Keluar Tak Pakai Mask, 50 Individu Didenda Baca Doa Di Kubur Jenazah COVID-19