in

Didakwa Beli Tanah Di Melaka Untuk Bina ‘Kerajaan 9’, Polis Sedang Pantau Mawla Amin & Pengikut

Mawla Amin Kerajaan 9

Pernah dengar lelaki yang dikenali sebagai Mawla Amin? Individu ini pernah tular sejak tahun lalu apabila didakwa dari keturunan Rasulullah SAW.

Menerusi Harian Metro, dilaporkan bahawa Mawla Amin dan pengikutnya kini sedang dipantau Polis Diraja Malaysai (PDRM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pemantauan itu termasuklah sebuah madrasah di Selangor yang aktif mempromosi Mawla Amin dengan mengutip dana awam secara tidak sah.

Artikel berkaitan: JAKIM Belum Beri Kenyataan Rasmi Mengenai Individu Mengaku Cicit Nabi, Minta Orang Ramai Berhati-hati

Artikel berkaitan: Semakan Jabatan Agama Dengan Pihak Maghribi Dapati ‘Cicit Rasulullah’ Dikait 6 Kontroversi Termasuk Penipuan Duit?

“Kita ada maklumat itu dan buat masa ini kita masih memantau pergerakan Mawla Amin terbabit bersama pengikutnya.

“Madrasah terbabit juga apa yang diketahui membeli tanah di Melaka hasil kutipan dana daripada pengikutnya dan orang ramai bagi membina perkampungan terbabit,” katanya.

Tambahnya, pihak polis akan bekerjasama dengan jabatan agama Islam negeri mengenai kegiatan yang dijalankan mereka.

Dalam pendedahan itu, Mawla Amin atau dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai ‘Mawla Mohamed Amin al-Hassani’ dikatakan sedang membina perkampungan ‘Kerajaan 9’ di Melaka, yang didakwa sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Katanya, tanah yang baru dibeli tersebut dilaporkan milik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka.

Ggvn2Hia8Aa00Qc

Perkampungan itu dikatakan akan menjadi penempatan individu dari luar yang diangkat menjadi Imam Mahdi.

Terdahulu, Harian Metro juga melaporkan madrasah terbabit juga terpalit dengan salah laku berkait mudirnya mendera pelajar dengan tidak memberikan makanan dan dipaksa tidur dalam tandas.

Pihak JAKIM juga pernah mengeluarkan kenyataan menasihati orang ramai untuk mengambil langkah berhati-hati dengan dakwaan yang tidak jelas mengenai latar belakang individu tersebut.

Sumber: XHarian Metro