Sekitar awal bulan ini buku berjudul Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia telah mengundang kemarahan rakyat Malaysia kerana dikatakan menghina jata negara sehingga ia mendapat perhatian pihak berkuasa.
Sinar Harian hari ini melaporkan Editor buku tersebut dikesan telah melarikan diri ke luar negara.
Disenaraikan orang yang dikehendaki
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki yang merupakan warga tempatan itu didapati telah ke luar negara sejak 21 Januari lalu, hasil semakan terhadap dokumen perjalanannya.
“Dia (editor) telah keluar Malaysia, namun kami tidak dapat memastikan keberadaan suspek serta lokasinya. Pihak JSJ telah menyenaraikannya sebagai Orang yang Dikehendaki dan akan ditangkap selepas dikesan.”
Tambahnya lagi, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Interpol serta mengeluarkan notis merah sekiranya suspek dikesan di mana-mana negara.
Katanya, setakat ini polis telah merakam keterangan lapan daripada 28 penulis yang menyumbang artikel untuk buku itu, manakala bakinya sedang dikesan.
“JSJ juga akan meminta bantuan Cawangan Khas sekiranya artikel yang disumbangkan 28 penulis buku itu mempunyai unsur-unsur ancaman keselamatan dan sebagainya,”
Malah dia memaklumkan sebanyak 203 laporan polis diterima berhubung kes itu di seluruh negara.
Siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Baca : Kulit Buku Hina Jata Negara : Disengajakan Atau Tidak? Ini Fakta Korang Perlu Tau!