Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar denda RM50 juta yang menjadi antara syarat bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, selepas prosiding mahkamah di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Shafee, sehingga kini Najib masih tidak mampu menjelaskan jumlah denda tersebut kerana akaun bank miliknya telah dibekukan termasuk akaun Affin Bank yang digunakan untuk menerima gaji ketika menjadi Perdana Menteri dan Ahli Parlimen.
Jelas beliau, Najib tidak pernah meminta orang awam menyumbang bagi membayar dengan tersebut.
“Dia serba salah sebab dia sepatutnya bayar, tetapi dia tidak ada duit,” katanya dan mengakui beliau tidak tahu berapa jumlah sumbangan sudah diperoleh.

Artikel berkaitan: Rosmah Terharu Sumbangan Tabung Solidariti Najib, Dedah Terima Derma Dari Brunei, Itali & Kanada
Artikel berkaitan: “Tak semestinya kediaman beliau” – Peguam Jelaskan Situasi Sebenar Tahanan Rumah
Masih belum terima surat rasmi
Shafee turut mendedahkan bahawa pihaknya masih belum menerima surat rasmi pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, kelewatan itu menimbulkan persoalan kerana dokumen berkenaan mengandungi syarat penuh yang diperlukan untuk tindakan lanjut berkaitan pelaksanaan tahanan rumah.
“Hari kelapan, pelik. Kelewatan ini menjejaskan tindakan seterusnya pasukan guaman kerana kami tidak mengetahui syarat penuh yang terkandung dalam dokumen rasmi berkenaan.
“Kita tak tahu, kenapa surat itu begitu lambat, penjara (Jabatan Penjara) pun tidak dapat,” katanya.
Sumber: Berita Harian
